Friday, December 21, 2007

ISLAM BUKAN SEKADAR PENJENAMAAN

Kita sering kali dimomokkan dengan label-label dan jenama-jenama Islam dalam pelbagai produk dan situasi.

Seolah-olah Islam hanya mampu diterjemahkan apabila sesuatu itu mempunyai jenama atau label ‘Islam’. Awal minggu ini media massa tempatan dan antarabangsa termasuk CNN dan BBC melaporkan bahawa syarikat automotif negara mengisytiharkan cadangannya untuk mereka cipta dan memasarkan kereta pertama yang bercirikan Islam.

Temtunya ramai yang teruja untuk membaca laporan tersebut sambil pelbagai idea tercetus dan bermain-main di pemikiran mengenai ciri-ciri kereta Islam. Apakah ‘kereta Islam’ mempunyai keupayaan enjin yang lebih hebat daripada biasa lantaran Islam itu agama yang hebat dan perkasa? Atau mungkin kualiti dan reka bentuknya adalah lebih mantap daripada kereta yang sedia ada sebagaimana kemantapan kualiti Islam itu sendiri. Atau mempunyai karekteristik yang mesra alam sebagaimana sifat ‘rahmatan lil alamin’ yang ada pada Islam.

Namun, idea-idea ini meleset setelah membaca laporan media yang menyebut bahawa ciri-ciri utama ‘kereta Islam’ tersebut ialah kereta yang dilengkapi kompas sebagai petunjuk arah kiblat serta ruang penyimpanan al-Quran dan tudung. Mendengar penjelasan yang diberikan mengenai ciri-ciri ‘kereta Islam’ tersebut, terdetik pelbagai persoalan yang menyerabutkan pemikiran.

Apakah kereta yang dianggap Islamik itu hanya pada kompas dan ruang penyimpanan al-Quran dan tudung? Apakah ruang kereta ‘konvensional’ sekarang tidak mencukupi untuk menyimpan al-Quran mahupun tudung? Jika kereta sahaja boleh menyimpan tudung tetapi pemandu Islamnya tidak bertudung, maka kereta sahajalah yang Islam tetapi bukan pemandunya. Atau jika kereta sahaja berkompas kiblat tetapi pemandunya tidak pun menunaikan solat, hanya kereta sahajalah yang Islam bukan pemandunya.

Lebih malang sekiranya kereta berjenama Islam ini dipandu pula oleh pemandu yang langsung tidak bercirikan Islam seperti memandu secara rakus dan berbahaya hingga ramai menjadi mangsa korban jalan raya. Akhirnya, terpalit pula wajah hodoh dan negatif pada ‘kereta Islam’ dan agama Islam.

Semua itu rupanya hanya lebih kepada promosi atau gimik pihak pengeluar kenderaan berjenama Islam tersebut sahaja. Mungkin mereka telah mengkaji dan menganalisis pasaran yang ingin diterokai secara teliti dan mendalam hingga tercetus idea penjenamaan ‘kereta Islam’ tersebut. Atau mungkin juga ini merupakan strategi pasaran yang dikira berkesan untuk menembusi pasaran umat Islam yang sudah menjangkau lebih 2 bilion di seantero dunia.

Jika benarlah analisis pasaran menunjukkan umat lebih teruja pada nama dan label berbanding isi dan kualitinya, ia merupakan suatu petanda yang cukup menyedihkan. Senario ini bagaikan mengesahkan tanggapan umum yang melihat umat Islam hari ini adalah umat yang celaru kerana lebih mengutamakan bentuk (form) daripada isi (substance).

Sememangnya jika diperhatikan dengan realiti, fenomena mengutamakan label dan jenama Islam bagaikan suatu yang lumrah dalam kerangka umat Islam kini. Sehinggakan sesuatu itu payah untuk dianggap Islam atau kurang nilai Islamnya jika tidak ditempelkan dengan jenama Islam. Natijahnya, kita dapati Islam kini ditampilkan dalam bentuk yang pelbagai mengikut cita rasa dan kepentingan mereka yang berkepentingan. Seolah-olah hanya apabila ada label Islam maka sifatnya lebih Islamik berbanding entiti yang tidak berjenama Islam.

Walhal Islam itu bukan terletak pada label mahupun sekadar penjenamaan. Jika dikaji sejarah Islam, tidak pernah berlaku kegilaan untuk berlumba-lumba melabelkan sesuatu dengan nama Islam seperti yang berlaku ketika ini. Sebaliknya umat Islam melalui pendekatan Nubuwwah lebih menumpukan isi dan penggarapan kualiti berbanding label dan jenama.

Sebab itulah Nabi Muhammad s.a.w. sering kali menegaskan: “Iman itu bukanlah angan-angan dan juga bukan sekadar perhiasan, tetapi iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amal.” (Riwayat Ad-Dailami).

Memahami falsafah dan prinsip inilah maka umat sejak zaman-berzaman berjaya membina tamadun yang hebat dengan mengeluarkan produk-produk berkualiti bercirikan Islam. Umpamanya, dalam pelbagai cabang ilmu, para ilmuwan Islam seperti Ibn Sina dan Al-Khawarizimi mengeluarkan produk-produk perubatan dan matematik berkualiti. Jauh sekali untuk dilabelkan perubatan Islam ataupun matematik Islam kerana yang lebih dititikberatkan ialah soal isi dan kualiti.

Justeru sudah tiba masanya umat melakukan penjernihan pemikiran agar kita tidak terus ditertawakan lantaran tindak-tanduk kita yang kurang bijaksana. Apa yang lebih penting ialah nilai dan inti pati Islamlah yang harus dihayati dan dimartabatkan, bukannya sekadar mendabik-dada dengan pelbagai slogan dan jenama murahan yang isinya kosong melompong.