Friday, December 21, 2007

ISLAM BUKAN SEKADAR PENJENAMAAN

Kita sering kali dimomokkan dengan label-label dan jenama-jenama Islam dalam pelbagai produk dan situasi.

Seolah-olah Islam hanya mampu diterjemahkan apabila sesuatu itu mempunyai jenama atau label ‘Islam’. Awal minggu ini media massa tempatan dan antarabangsa termasuk CNN dan BBC melaporkan bahawa syarikat automotif negara mengisytiharkan cadangannya untuk mereka cipta dan memasarkan kereta pertama yang bercirikan Islam.

Temtunya ramai yang teruja untuk membaca laporan tersebut sambil pelbagai idea tercetus dan bermain-main di pemikiran mengenai ciri-ciri kereta Islam. Apakah ‘kereta Islam’ mempunyai keupayaan enjin yang lebih hebat daripada biasa lantaran Islam itu agama yang hebat dan perkasa? Atau mungkin kualiti dan reka bentuknya adalah lebih mantap daripada kereta yang sedia ada sebagaimana kemantapan kualiti Islam itu sendiri. Atau mempunyai karekteristik yang mesra alam sebagaimana sifat ‘rahmatan lil alamin’ yang ada pada Islam.

Namun, idea-idea ini meleset setelah membaca laporan media yang menyebut bahawa ciri-ciri utama ‘kereta Islam’ tersebut ialah kereta yang dilengkapi kompas sebagai petunjuk arah kiblat serta ruang penyimpanan al-Quran dan tudung. Mendengar penjelasan yang diberikan mengenai ciri-ciri ‘kereta Islam’ tersebut, terdetik pelbagai persoalan yang menyerabutkan pemikiran.

Apakah kereta yang dianggap Islamik itu hanya pada kompas dan ruang penyimpanan al-Quran dan tudung? Apakah ruang kereta ‘konvensional’ sekarang tidak mencukupi untuk menyimpan al-Quran mahupun tudung? Jika kereta sahaja boleh menyimpan tudung tetapi pemandu Islamnya tidak bertudung, maka kereta sahajalah yang Islam tetapi bukan pemandunya. Atau jika kereta sahaja berkompas kiblat tetapi pemandunya tidak pun menunaikan solat, hanya kereta sahajalah yang Islam bukan pemandunya.

Lebih malang sekiranya kereta berjenama Islam ini dipandu pula oleh pemandu yang langsung tidak bercirikan Islam seperti memandu secara rakus dan berbahaya hingga ramai menjadi mangsa korban jalan raya. Akhirnya, terpalit pula wajah hodoh dan negatif pada ‘kereta Islam’ dan agama Islam.

Semua itu rupanya hanya lebih kepada promosi atau gimik pihak pengeluar kenderaan berjenama Islam tersebut sahaja. Mungkin mereka telah mengkaji dan menganalisis pasaran yang ingin diterokai secara teliti dan mendalam hingga tercetus idea penjenamaan ‘kereta Islam’ tersebut. Atau mungkin juga ini merupakan strategi pasaran yang dikira berkesan untuk menembusi pasaran umat Islam yang sudah menjangkau lebih 2 bilion di seantero dunia.

Jika benarlah analisis pasaran menunjukkan umat lebih teruja pada nama dan label berbanding isi dan kualitinya, ia merupakan suatu petanda yang cukup menyedihkan. Senario ini bagaikan mengesahkan tanggapan umum yang melihat umat Islam hari ini adalah umat yang celaru kerana lebih mengutamakan bentuk (form) daripada isi (substance).

Sememangnya jika diperhatikan dengan realiti, fenomena mengutamakan label dan jenama Islam bagaikan suatu yang lumrah dalam kerangka umat Islam kini. Sehinggakan sesuatu itu payah untuk dianggap Islam atau kurang nilai Islamnya jika tidak ditempelkan dengan jenama Islam. Natijahnya, kita dapati Islam kini ditampilkan dalam bentuk yang pelbagai mengikut cita rasa dan kepentingan mereka yang berkepentingan. Seolah-olah hanya apabila ada label Islam maka sifatnya lebih Islamik berbanding entiti yang tidak berjenama Islam.

Walhal Islam itu bukan terletak pada label mahupun sekadar penjenamaan. Jika dikaji sejarah Islam, tidak pernah berlaku kegilaan untuk berlumba-lumba melabelkan sesuatu dengan nama Islam seperti yang berlaku ketika ini. Sebaliknya umat Islam melalui pendekatan Nubuwwah lebih menumpukan isi dan penggarapan kualiti berbanding label dan jenama.

Sebab itulah Nabi Muhammad s.a.w. sering kali menegaskan: “Iman itu bukanlah angan-angan dan juga bukan sekadar perhiasan, tetapi iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amal.” (Riwayat Ad-Dailami).

Memahami falsafah dan prinsip inilah maka umat sejak zaman-berzaman berjaya membina tamadun yang hebat dengan mengeluarkan produk-produk berkualiti bercirikan Islam. Umpamanya, dalam pelbagai cabang ilmu, para ilmuwan Islam seperti Ibn Sina dan Al-Khawarizimi mengeluarkan produk-produk perubatan dan matematik berkualiti. Jauh sekali untuk dilabelkan perubatan Islam ataupun matematik Islam kerana yang lebih dititikberatkan ialah soal isi dan kualiti.

Justeru sudah tiba masanya umat melakukan penjernihan pemikiran agar kita tidak terus ditertawakan lantaran tindak-tanduk kita yang kurang bijaksana. Apa yang lebih penting ialah nilai dan inti pati Islamlah yang harus dihayati dan dimartabatkan, bukannya sekadar mendabik-dada dengan pelbagai slogan dan jenama murahan yang isinya kosong melompong.

Sunday, November 11, 2007

BAHASA MELAYU

Utusan Malaysia - 11 November 2007

Bahasa Inggeris dikuasai bukan didaulatkan
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Gesaan wakil Perhubungan UMNO Johor agar pengajaran Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu ketika membahaskan usul di Perhimpunan Agung UMNO Khamis lalu wajar diambil perhatian serius. Penulis berkongsi pendapat dengan Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menimbulkan isu kedudukan bahasa Melayu itu tahun lalu dan membangkitkannya sekali lagi tahun ini.

Sememangnya peranan bahasa sebagai alat komunikasi terpenting tidak perlu dibahaskan lagi. Bahasa turut memainkan peranan penting sebagai alat untuk mencari dan menimba ilmu pengetahuan. Malah peranan bahasa dalam mempertahankan jati diri dan alat pemerkasaan perpaduan masyarakat tidak boleh dipandang enteng.

Perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai sebahagian bahasa kebangsaan memakan pengorbanan besar. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, kedudukan bahasa Melayu mula terjamin dan menjadi wahana memperbaiki dan memantapkan perpaduan di antara kaum.

Majlis Perundingan Negara yang dibentuk ekoran tragedi itu menggagaskan beberapa resolusi penting termasuk penegasan semula pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diasaskan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Penyata Razak dalam Perenggan 12 menyatakan keperluan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Laporan Rahman Talib 1960 memperkukuhkan lagi tujuan dan cara mencapainya. Berlandaskan kepada kedua-dua Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib maka terbentuklah Akta Pelajaran 1961. Bermula dari situlah sekolah aliran Inggeris yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran semua mata pelajarannya ditukar menjadi aliran kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu.

Usaha yang dijalankan melalui pendaulatan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai pengantar utama di dalam sistem pendidikan kebangsaan adalah semata-mata untuk menyelesaikan masalah perkauman yang melanda lantaran wujudnya fragmentasi dalam masyarakat akibat kepelbagaian aliran pendidikan. Malah pelbagai aliran pendidikan yang diasaskan penjajah inilah yang menjadi antara penyebab utama kerenggangan hubungan antara kaum.

Memahami sejarah dan kepentingan meletakkan bahasa Melayu di tempatnya adalah penting agar dalam semangat yang bergelodak untuk menguasai bahasa asing, kita tidak sesekali merendahkan martabat bahasa sendiri yang menjadi asas perpaduan dan pembinaan jati diri bangsa Malaysia.

Malah dalam mengorak langkah untuk mengangkasakan tamadun bangsa yang gemilang, keyakinan terhadap bahasa sendiri tidak harus luntur sehingga sanggup melakukan tindakan tidak bijaksana.

Banyak negara yang cuba mendaulatkan bahasa asing tetapi akhirnya tersungkur bahkan tidak mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa yang diciplaknya. Sebagai contoh, negara-negara Afrika yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah tidak dianggap negara maju. Sebaliknya negara yang mendaulatkan bahasa sendiri seperti Jepun, Korea, Perancis, China dan Jerman tetap maju dalam pelbagai bidang termasuk sains dan matematik.

Namun, semangat mendaulatkan bahasa kebangsaan tidak pula bermakna kita harus taksub dan beremosi hingga menafikan kepentingan menguasai bahasa asing. Islam turut menekankan keperluan mempelajari bahasa asing dalam meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan.

Di zaman Khalifah Al-Makmun, didirikan pusat pengembangan ilmu, Bait al-Hikmah yang giat menterjemahkan karya-karya besar dalam pelbagai cabang ilmu daripada tamadun Yunani ke dalam bahasa Arab. Cendekiawan-cendekiawan besar seperti Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Tufayl dan Ibn Rushd menguasai bahasa dan falsafah Yunani tetapi tidak pula timbul polemik pendewaan berlebihan kepada bahasa dan tamadun asing sehingga meminggir dan meremehkan bahasa dan budaya sendiri.

Justeru amat wajarlah jika dikaji secara teliti keberkesanan dasar sebelum ini yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran Sains dan Matematik. Apa yang lebih mustahak ialah untuk merumuskan formula lebih berkesan terhadap cara dan teknik pengajaran bahasa Inggeris. Adalah aneh bagi seorang pelajar yang mempelajari bahasa Inggeris selama 11 tahun dari sekolah rendah hingga menengah masih gagal menguasai bahasa itu. Ini pastilah berkait rapat dengan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sekarang yang kurang berkesan.

Apa yang lebih membimbangkan, dalam upaya menguasai bahasa Inggeris, kita seolah-
olah menganaktirikan bahasa sendiri hingga tercetus reaksi melampau meremehkan bahasa kebangsaan yang menjadi asas pembinaan jatidiri bangsa Malaysia yang berdaulat.

Tuesday, September 18, 2007

APA HAK ANDA SEBAGAI PENGGUNA - ISU AYAM NAIK HARGA


Pagi ini dalam TV, persatuan pengguna Islam syorkan kita menggunakan hak2 kita sebagai pengguna untuk mengawal harga pasaran ayam. Kurang atau berhenti membeli ayam buat seketika.

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini marilah berhenti makan ayam daging yang dijual dipasar-pasar. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut :


1. Kajian menunjukkan bahawa 92 peratus penternak ayam daging di Malaysia terdiri dari bangsa asing yang bukan beragama Islam. Mereka ini secara suka-suka akan menaikkan harga ayam tanpa menghiraukan harga siling yang telah ditetapkan oleh
kerajaan. Alasan mereka ialah harga makanan ayam telah naik dengan mendadak. Selalunya apabila makanan ayam naik 10% , harga ayam dipasaran akan dinaikkan 30%.

2. Kajian juga menunjukkan bahawa 100 peratus pengeluar anak ayam adalah terdiri dari bukan Islam. Mereka juga akan suka-suka menaikkan harga anak ayam tanpa sebarang sebab.

3. Kajian juga jelas menunjukkan bahawa 100 peratus pengeluar makanan ayam adalah terdiri dari bukan Islam. Pengeluar makananlah yang selalu disalahkan bila harga ayam dipasaran naik. Memang mereka bersalah kerana bersubahat dan berkomplot dengan
penternak ayam dan pengeluar anak ayam untuk menaikkan harga terutama apabila umat Islam akan berpuasa dan juga semasa menyambut hari raya.

4. Semua orang tahu bahawa 100 peratus penjual ayam bahagian makanan halal dipasar adalah terdiri dari orang Melayu yang untungnya sangat rendah kerana tersepit diantara kenaikan harga dari pembekal dan kawalan harga dari kerajaan. Mereka ini boleh berhenti menjual ayam dan menjual daging sekiranya bangsa sendiri tidak lagi makan ayam.

5. Ayam daging yang kita beli dipasar bukan lagi ayam yang sebenarnya. Ianya adalah sejenis modifikasi bahan makanan. Ayam-ayam moden hari ini kelihatan semuanya
memakai baju yang sama. Mereka didudukkan di dalam bilik yang sempit dan diberi makan mengikut peraturan. Ayam-ayam ini juga diberi pelbagai jenis pil dan hormon agar ianya 'kelihatan' subur dan menarik apabila ianya telah disembelih untuk dijual
di pasar. Ayam-ayam ini juga tidak pernah mengotorkan kaki mencakar tanah mencari cacing. Badan ayam-ayam ini tidak pernah dipanah oleh cahaya matahari. Bayangkan dalam masa 40 hari dari sebiji telor yang menetas dengan kuasa eletrik, ianya siap
sedia untuk dihidangkan ke meja makan.

6. Ramai penternak ayam masih menggunakan sejenis antibiotik yang mempunyai kesan karsinogenik (penyebab barah) dan boleh merosakkan sistem saraf pusat. Nitrofuran,
satu kelas drug yang amat toksik digunakan untuk mengawal penyakit yang menyerang ayam ternakan. Seorang doktor haiwan di Johor, mendapati rintangan terhadap antibiotik tersebut telah wujud dalam sekumpulan ayam ternak yang dirawatnya.

7. Mereka yang kerap memakan daging ayam kini perlu lebih berhati-hati berikutan kadar hormon yang tinggi pada haiwan itu boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan.
Pensyarah Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohd Zulkefeli Md. Jusoh berkata, kekerapan memakan ayam khususnya daripada jenis 'ayam daging' akan membawa kepada ketidakseimbangan hormon dalam tubuh. Lebih membimbangkan lagi katanya, dalam tempoh jangka panjang, mereka yang kerap memakannya menghadapi risiko penyakit kanser."Secara amnya, tubuh kita memang mempunyai
sistem kawalan bahan-bahan asing. tetapi ia hanya berfungsi untuk tindak balas jangka pendek sahaja dan tidak dapat menentukan apa yang akan berlaku selepas itu," katanya.

Menurut Mohd Zulkefeli, kulit ayam juga boleh mendatangkan kemudaratan kerana ia
banyak terdedah kepada pelbagai bahan kimia yang beracun.Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya memastikan bahagian itu ketika membeli ayam
daging di pasar. Beliau bagaimanapun tidak menggalakkan orang ramai memakan kulit ayam kerana mengandungi kolesterol yang tinggi dan berpotensi menyumbang kepada penyakit jantung.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh pakar pemakanan daripada Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Pakar tersebut yang enggan dikenali berkata, pembesaran ayam daging yang bergantung kepada tindak balas hormon memudaratkan sistem pertahanan badan manusia yg memakannya. "Hormon yang terkumpul dalam badan manusia itu boleh menjadi punca kepada penyakit sekiranya sistem pertahanan badan gagal meneutralkannya (hormon) dalam tempoh singkat." Apabila bahan-bahan yang tidak biasa diproses ini gagal disintesis dan dipecahkan, ia boleh memberikan kesan apabila tua kelak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Tambahnya, selain hormon, ayam daging juga mempunyai kadar kolesterol yang tinggi berbanding makanan lain dalam kumpulan makanan berprotein. Keadaan ini meningkatkan lagi risiko didatangi penyakit-penyakit seperti penyakit jantung, diabetes dan masalah kegemukan. "satu perkara yang perlu disedari adalah ayam daging membesar secara tidak normal. Justeru, adalah dikhuatiri ia juga boleh menjadi penyebab kepada penyakit-penyakit baru yang tidak pernah wujud sebelum ini," ujarnya. Saya menyeru anda semua supaya berhenti membeli ayam daging dipasaran yang telah diubahsuai susunan genetik nya, dikawal harganya oleh golongan kapitalis, diracuni serta telah menjalani food programming secara kaedah yahudi yang sangat memberi kesan kepada pertumbuhan minda, boleh menyebabkan mati pucuk serta mandul dan juga menjadi punca utama kepada kanser rahim serta kanser payudara.

NAMUN SEMUANYA TERPULANG KEPADA ANDA, TEPUK DADA TANYA SELERA …………. WASSALAM.


Thursday, August 9, 2007

MERDEKA

Pada 31 Ogos 2007 , MALAYSIA bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50. Bagi seorang insan, mencecah usia 50 tahun menandakan beliau telah mencapai usia matang dalam hidup. Tentu berbagai pengalaman hidup telah ditempuhi beliau.

Sebaliknya ......
Apakah erti 50 tahun kemerdekaan Malaysia bagi bangsa Melayu ?
Apakah kecemerlang yang telah berjaya dicapai oleh bangsa kita ?
Adakah kita betul-betul merdeka dalam ertikata yang sebenarnya ?
Berjayakah kita menonjjolkan jati diri kita yang sebenar ?
Berjayakah kita memartabatkan Bahasa Melayu?

Setiap tahun, bila menjelangnya hari kemerdekaan , bagaimana kita mengisi makna kemerdekaan itu keatas diri , keluarga dan masyarakat kita ?

Kemerdekaan bukan saja kemampuan membebaskan diri daripada belenggu penjajah , tetapi keupayaan kita mengisi makna kemerdekaan tersebut dari segi zahir dan batin sejajar dengan proses pembangunan negara.

Penentangan bangsa Melayu terhadap penjajah Inggeris disebabkan kolonial Inggeris cuba memaksa ideologi dan sistem nilainya terhadap anak tempatan. Kolonial Inggeris beranggapan bangsa Melayu perlu mengikut acuan Inggeris dan Barat untuk memerdekakan diri daripada kejahilan dan kemunduran.

Bangsa Melayu yang memiliki kesedaran agama tinggi dapat membaca maksud penjajahan Inggeris kerana ia boleh memberi kesan terhadap generasi akan datang dari segi minda, gaya hidup dan halatuju pembangunan negara.

Bangsa Melayu tidak mahu syarat terhadap kemerdekaan membawa maksud pembaratan terhadap bangsa. Dalam bahasa mudah, walaupun bangsa Melayu berkulit sawo matang, tetapi pemikiran dan cita rasanya adalah mengikut Barat.

Hakikatnya memang ada manfaat yang diperolehi dari Barat iaitu dari segi kemodenan teknologi dan urusan pentadbiran , tetapi roh dan semangat kebaratan tidak harus menjadi landasan membangunkan negara merdeka.

BANGSA MELAYU YANG MERDEKA HARUS BERPAKSIKAN KEPADA JATI DIRI BANGSA MELAYU ITU SENDIRI YANG BERHUBUNGKAIT DENGAN AGAMA ISLAM, BAHASA MELAYU, TRADISI DAN BUDAYA di samping tidak menolak faktor kemajuan yang bermanfaat baik daripada tamadun orang lain.

Proses pembaratan tidak hanya berlaku pada zaman penjajahan, tetapi berlaku secara agresif selepas itu. Ketidakupayaan bangsa Melayu memperkukuhkan jati diri seimbang dengan perubahan hari ini menyebabkan jerat penjajahan mengena kembali ke leher bangsa Melayu dan menyebabkan bangsa Melayu terbelenggu semula dalam arus globalisasi yang kencang menyerang. Sebahagian bangsa Melayu menjadi kagum dengan perubahan di Barat terutama dalam bidang kebudayaan popular dan gaya hidup.

Berjiwa merdeka tidak bermakna bangsa Melayu perlu anti-Barat, antiperkembangan teknologi dan antikemajuan serta perubahan. Kemerdekaan bagi orang Melayu ialah keupayaan memperkasa diri dengan ilmu, kemahiran dan kepakaran, jati diri yang diolah secara dinamik, kreatif dan hala tuju kemajuan dalam acuan sendiri.

Islam mengambil pendekatan Barat tidak ditentang, tetapi proses pembaratan perlu diwaspada. Islam tidak melihat teknologi adalah segala-galanya dalam memberi erti kemerdekaan. Teknologi adalah merupakan alat, bukan matlamat.

Matlamat dalam pembangunan teknologi ialah setakat mana pengguna teknologi memiliki kualiti nilai dan pedoman aplikasi yang baik dan pada masa sama setakat mana perisian serta program dalam aktiviti memanfaatkan teknologi berasaskan sumber dan pengolahan bermanfaat.

Inilah cabaran kemerdekaan bangsa Melayu dan warga Malaysia bagi memberi erti terhadap kemajuan dan perubahan berasaskan jati diri keMelayuan dan terbuka untuk menerima aspek positif daripada orang lain.

Kemajuan Islam tidak seharusnya dalam batas tradisional semata-mata. Faktor integrasi dalam ilmu, memperkasa metodologi pendidikan agama, memberikan orientasi baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, bina insan yang menyeluruh antara faktor perlu dilakukan bangsa Melayu untuk mengekalkan jati diri mereka.

Usaha ini memerlukan upaya kreatif yang tinggi. Faktor tradisi dalam seni dan budaya, ilmu dan pendidikan, metodologi dan kajian memerlukan asas maju dan berubah. Upaya kreativiti boleh mencetuskan pembaharuan bentuk dan isi yang merintis ke arah kemajuan.

Jika faktor ini gagal dibangunkan, ketirisan dan pencairan jati diri akan berlaku kerana pengaruh budaya popular Barat adalah terlalu kuat dan amat berpengaruh terhadap generasi muda.

Binaan ilmu Islam perlu diungkapkan secara tamadun. Pendekatan ritual atau rohaniah terbatas harus dikembangkan dengan upaya mengurus sistem yang tidak terpisah dengan sistem nilai makruf.

Ia harus bermula dengan proses integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan. Darinya bakal lahir modal insan di kalangan bangsa Melayu yang menyeluruh. Generasi muda di kalangan bangsa Melayu yang mendapat pendedahan ilmu di Barat dan Timur akan melakukan sinergi terhadap kedua-kedua orientasi ilmu supaya akhirnya di kalangan mereka mampu mempertahankan jati diri yang positif dan berdaya maju serta pada masa sama tidak tenggelam dengan fahaman sekular dan liberal yang ada di Barat dan Timur.

Membebaskan bangsa Melayu daripada belenggu penjajahan pemikiran dan jiwa perlu dilakukan dengan cara memperkasa diri mereka dengan idea ketamadunan daripada sumber al-Quran dan Sunnah.

Ia bakal menjadikan bangsa Melayu khususnya di kalangan generasi muda cenderung mempelajari sains, tetapi sains yang mengiktiraf kewujudan Pencipta. Mempelajari teknologi, tetapi teknologi yang dihubungkan dengan nilai kepenggunaan positif.

Yang paling penting, bangsa Melayu perlu bersatu. Tidak kira apa saja aliran politik mereka. Survival bangsa perlu diutamakan. Umpamanya dari segi memartabatkan bahasa Melayu dan mempertingkat taraf ekonomi, tidak kira samada UMNO atau PAS, perlu mementingkan faktor bangsa dahulu. Amalkan budaya WIN-WIN.

Apa yang berlaku pada hari ini adalah budaya bercakaran, cantas mencantas, mementingkan diri sendiri, penyalahgunaan kuasa dan bermacam lagi yang mana memberikan impak negatif yang merugikan bangsa Melayu itu sendiri.

Wednesday, August 1, 2007

ANCAMAN ARAK DAN JUDI

Dewasa ini banyak dipaparkan berkaitan keruntuhan moral dikalangan bangsa melayu samada di media cetak mahupun media elektronik. Lanjutan dari polemik ini muncullah banyak gejala sosial melibatkan kejadian penyalahgunaan dadah, keruntuhan moral dan sebagainya dikalangan orang-orang melayu terutamanya golongan muda-mudi.

Diantaranya adalah ancaman arak dan judi. Kini seolah-olah tidak menjadi kesalahan meminum arak dan berjudi. Jika tidak percaya perhatikanlah sendiri dimana meminum arak boleh dilihat secara terang-terangan di kota-kota dan berjudi terutamanya nombor ekor boleh dibeli dimana-mana saja oleh orang-orang melayu tanpa perasaan segan silu lagi.

Arak dan berjudi, kedua-duanya merupakan kenikmatan hidup yang amat disukai oleh orang Arab pada masa mereka belum lagi mempunyai minat dan cita-cita yang yang tinggi, yang dapat mereka habiskan kegiatan-kegiatan mereka atau belum lagi mempunyai minat dan cita-cita yang tinggi yang melibatkan seluruh perasaan mereka dan menelan seluruh waktu mereka.

Allah berfirman, Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah - (apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.

Sehingga pada waktu ini belum lagi diturunkan hukum mengharamkan arak dan judi tetapi tidak ada pula satu nas al-Quran yang menghalalkan kedua-duanya. Malah Allah membimbing kelompok Muslimin yang baru itu selangkah demi selangkah ke jalan yang dikehendaki oleh-Nya.

Allah menciptakan kelompok ini di bawah perhatian-Nya untuk memainkan peranan yang ditentukan untuk mereka. Peranan yang amat besar ini tentulah tidak sesuai dengan kegiatan membuang waktu di dalam penagihan arak dan permainan judi. Ia tidak selaras dengan kerja-kerja membuang umur, membuang masa sedar dan membuang tenaga yang dilakukan oleh orang-orang yang kosong dari pekerjaan, iaitu orang-orang yang hanya asyik memuaskan kenikmatan nafsu mereka sahaja. Atau orang-orang yang diburu oleh kekosongan hidup lalu mereka penuhkannya dengan kemabukan arak dan bermain judi, atau orang yang diburu oleh jiwa mereka lalu mereka melarikan diri di dalam arak dan judi sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang yang hidup di dalam jahiliah, sekarang dan masa akan datang.

Namun, dalam menjalankan cara pendidikannya terhadap jiwa manusia, Islam bertindak dengan perlahan-lahan, selesa dan hati-hati. Ayat yang kita sedang bicarakan ini merupakan langkah pertama dari langkah-langkah pengharaman. Segala benda dan segala perbuatan kadang-kadang tidak semuanya tidak baik belaka.

Yang baik kadang-kadang bercampur dengan yang tidak baik dan yang tidak baik bercampur dengan yang baik di bumi ini, tetapi menjadi asas halal dan haram ialah wujudnya lebih banyak kebaikan atau wujudnya lebih banyak kejahatan. Jika dosa (keburukan) dalam penagihan arak dan permainan judi itu lebih besar dari manfaatnya, maka itulah sebab pengharaman dan larangan walaupun tidak dijelaskan di sini dengan lafaz pengharaman dan larangan.

Ancaman daripada minum arak

Terdapat banyak hadis yang melarang keras daripada minum arak.
Antaranya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
* “Jauhilah minuman keras, kerana sesungguhnya minuman keras itu punca dari segala kejahatan.” (Riwayat Hakim)
* “Semua minuman yang memabukkan itu adalah khamar dan setiap khamar itu adalah haram. Dan barang siapa yang minum khamar di dunia. Lalu mati dalam keadaan tidak bertaubat, sedangkan dia sangat menggemarinya, maka nanti dia tidak akan dapat merasainya di akhirat”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)
* Siapa yang meminum khamar di dunia, maka dia akan diharamkan minuman khamar di akhirat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
* “Barang siapa yang meminum minuman keras, Allah tidak akan menerima sesuatu (kebaikan) daripadanya. Dan jika dia mabuk dari sebab minuman keras itu, tidak akan diterima solatnya selama 40 pagi (hari). Kemudian jika dia bertaubat, lalu kembali semula meminum minuman keras maka berhak Allah memberikannya minuman dari kotoran darah atau nanah neraka jahanam.” (Riwayat Ahmad dan Turmidzi)

Arak itu sebenarnya ada manfaatnya seperti memanaskan tubuh, menghilangkan dukacita dan sebagainya. Tetapi kemudaratannya terlebih besar dari manfaatnya kerana ia berbahaya kepada kesihatan badan dan fikiran serta pembaziran.

Berkata salah seorang doktor dari Jerman, orang yang banyak minum arak ketika umurnya 40 tahun, tubuhnya dan fikirannya seperti orang yang berumur 60 tahun.

Zarro Aga seorang peladang Turki, telah berumur lebih 100 tahun, sedangkan kekuatan tubuhnya dan fikirannya seperti orang muda. Tatkala ditanyakan kepadanya, apakah yang menyebabkan yang demikian itu? Maka dia mengatakan, bahawa dia tidak minum arak sejak kecil lagi.

Doktor-doktor Eropah telah bersepakat, bahawa bahaya arak itu lebih besar dari manfaatnya. Seolah-olah mereka menerima peraturan al-Quran yang telah turun lebih 1,300 tahun dahulu.

Ulama bersepakat, bahawa minum arak yang diperbuat daripada buah anggur, hukumnya haram, baik sedikit ataupun banyak. Arak yang diperbuat selain daripada anggur boleh diminum sedikit (tidak memabukkan) menurut mazhab Hanafi.

Ancaman daripada berjudi

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
* Sesungguhnya ramai orang yang cuba mendapatkan harta Allah dengan cara yang tidak benar, maka mereka berhak memasuki neraka pada hari kiamat. (Riwayat Bukhari)
* Sesiapa yang mengatakan kepada temannya: Marilah kita bermain judi! Maka hendaklah dia bersedekah (sebagai kaffarah). (Riwayat Bukhari)
Kalau sekadar mengajak teman judi saja sudah diwajibkan membayar kaffarah (tebusan) dengan bersedekah, apatah lagi kalau sudah bermain judi.
Bahaya berjudi amat jelas. Seseorang boleh menjadi kaya-raya dalam masa yang singkat, sebaliknya boleh menjadi papa-kedana sehingga boleh merobohkan rumah tangga yang bahagia dan menjadi hina dina dalam masa yang singkat juga.
Firman Allah: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.

Al-Maraghi berkata: Allah menyebut keampunan dan penambahan bagi mentakdirkan setiap kaum mengikut masa mereka dan yang layak dengan keadaan mereka. Yang dikehendaki dengan infak di sini ialah sedekah sunat kepada individu dan juga maslahah ummah.

IKTIBAR YANG BOLEH DISIMPULKAN

* Setiap larangan Allah pasti mempunyai mafsadah jika dilakukannya, sebaliknya jika ditinggalkan pasti mendapat maslahah dan manfaat.
* Mudarat arak bukan semata-mata berkenaan kesihatan tetapi merangkumi keseluruhannya seperti badan, jiwa, akal, harta dan termasuk juga hubungan sesama manusia.
* Judi merupakan ancaman kepada masyarakat dan mudaratnya lebih besar daripada manfaat.

SESI PERCAMBAHAN MINDA

1. Apakah peranan kita sebagai masyarakat melayu keseluruhannya dalam membendung hal ini.
2. Apakah tindakan jangka pendek dan jangka panjang dalam menangani masalah ini.
3. Apakah peranan anda sebagai individu melayu dalam menangani masalah ini.

TUJUAN BLOG INI

SALAM

Selamat datang ke blog Wawasan Melayu. Tujuan utama blog ini adalah untuk membincangkan secara khusus arah dan hala tuju serta wawasan bangsa melayu dalam mengharungi arus dan perkembangan dunia moden hari ini. Dengan perbincangan bersama diharap akan mencetus idea, percambahan fikiran dan apa saja yang mampu memberikan kesan kearah peningkatan, perkembangan dan kejayaan bangsa melayu itu sendiri. Semoga dengan kewujudan blog ini , diharap dapat merangsang kecemerlangan bangsa melayu samada dari segi minda, bahasa, ekonomi, sosial, agama dan sebagainya. Natijahnya, hasil dari penglibatan semua pihak yang prihatin dan ikhlas tanpa mengira apapun taraf mereka samada dari segi fahaman politik, pekerjaan mahupun kelompok kenegerian dan sebagainya bersama-sama dalam blog ini memberikan input untuk kejayaan bangsa melayu dan seterusnya memartabatkan bangsa melayu di mata dunia. AMIN