Thursday, August 9, 2007

MERDEKA

Pada 31 Ogos 2007 , MALAYSIA bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50. Bagi seorang insan, mencecah usia 50 tahun menandakan beliau telah mencapai usia matang dalam hidup. Tentu berbagai pengalaman hidup telah ditempuhi beliau.

Sebaliknya ......
Apakah erti 50 tahun kemerdekaan Malaysia bagi bangsa Melayu ?
Apakah kecemerlang yang telah berjaya dicapai oleh bangsa kita ?
Adakah kita betul-betul merdeka dalam ertikata yang sebenarnya ?
Berjayakah kita menonjjolkan jati diri kita yang sebenar ?
Berjayakah kita memartabatkan Bahasa Melayu?

Setiap tahun, bila menjelangnya hari kemerdekaan , bagaimana kita mengisi makna kemerdekaan itu keatas diri , keluarga dan masyarakat kita ?

Kemerdekaan bukan saja kemampuan membebaskan diri daripada belenggu penjajah , tetapi keupayaan kita mengisi makna kemerdekaan tersebut dari segi zahir dan batin sejajar dengan proses pembangunan negara.

Penentangan bangsa Melayu terhadap penjajah Inggeris disebabkan kolonial Inggeris cuba memaksa ideologi dan sistem nilainya terhadap anak tempatan. Kolonial Inggeris beranggapan bangsa Melayu perlu mengikut acuan Inggeris dan Barat untuk memerdekakan diri daripada kejahilan dan kemunduran.

Bangsa Melayu yang memiliki kesedaran agama tinggi dapat membaca maksud penjajahan Inggeris kerana ia boleh memberi kesan terhadap generasi akan datang dari segi minda, gaya hidup dan halatuju pembangunan negara.

Bangsa Melayu tidak mahu syarat terhadap kemerdekaan membawa maksud pembaratan terhadap bangsa. Dalam bahasa mudah, walaupun bangsa Melayu berkulit sawo matang, tetapi pemikiran dan cita rasanya adalah mengikut Barat.

Hakikatnya memang ada manfaat yang diperolehi dari Barat iaitu dari segi kemodenan teknologi dan urusan pentadbiran , tetapi roh dan semangat kebaratan tidak harus menjadi landasan membangunkan negara merdeka.

BANGSA MELAYU YANG MERDEKA HARUS BERPAKSIKAN KEPADA JATI DIRI BANGSA MELAYU ITU SENDIRI YANG BERHUBUNGKAIT DENGAN AGAMA ISLAM, BAHASA MELAYU, TRADISI DAN BUDAYA di samping tidak menolak faktor kemajuan yang bermanfaat baik daripada tamadun orang lain.

Proses pembaratan tidak hanya berlaku pada zaman penjajahan, tetapi berlaku secara agresif selepas itu. Ketidakupayaan bangsa Melayu memperkukuhkan jati diri seimbang dengan perubahan hari ini menyebabkan jerat penjajahan mengena kembali ke leher bangsa Melayu dan menyebabkan bangsa Melayu terbelenggu semula dalam arus globalisasi yang kencang menyerang. Sebahagian bangsa Melayu menjadi kagum dengan perubahan di Barat terutama dalam bidang kebudayaan popular dan gaya hidup.

Berjiwa merdeka tidak bermakna bangsa Melayu perlu anti-Barat, antiperkembangan teknologi dan antikemajuan serta perubahan. Kemerdekaan bagi orang Melayu ialah keupayaan memperkasa diri dengan ilmu, kemahiran dan kepakaran, jati diri yang diolah secara dinamik, kreatif dan hala tuju kemajuan dalam acuan sendiri.

Islam mengambil pendekatan Barat tidak ditentang, tetapi proses pembaratan perlu diwaspada. Islam tidak melihat teknologi adalah segala-galanya dalam memberi erti kemerdekaan. Teknologi adalah merupakan alat, bukan matlamat.

Matlamat dalam pembangunan teknologi ialah setakat mana pengguna teknologi memiliki kualiti nilai dan pedoman aplikasi yang baik dan pada masa sama setakat mana perisian serta program dalam aktiviti memanfaatkan teknologi berasaskan sumber dan pengolahan bermanfaat.

Inilah cabaran kemerdekaan bangsa Melayu dan warga Malaysia bagi memberi erti terhadap kemajuan dan perubahan berasaskan jati diri keMelayuan dan terbuka untuk menerima aspek positif daripada orang lain.

Kemajuan Islam tidak seharusnya dalam batas tradisional semata-mata. Faktor integrasi dalam ilmu, memperkasa metodologi pendidikan agama, memberikan orientasi baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, bina insan yang menyeluruh antara faktor perlu dilakukan bangsa Melayu untuk mengekalkan jati diri mereka.

Usaha ini memerlukan upaya kreatif yang tinggi. Faktor tradisi dalam seni dan budaya, ilmu dan pendidikan, metodologi dan kajian memerlukan asas maju dan berubah. Upaya kreativiti boleh mencetuskan pembaharuan bentuk dan isi yang merintis ke arah kemajuan.

Jika faktor ini gagal dibangunkan, ketirisan dan pencairan jati diri akan berlaku kerana pengaruh budaya popular Barat adalah terlalu kuat dan amat berpengaruh terhadap generasi muda.

Binaan ilmu Islam perlu diungkapkan secara tamadun. Pendekatan ritual atau rohaniah terbatas harus dikembangkan dengan upaya mengurus sistem yang tidak terpisah dengan sistem nilai makruf.

Ia harus bermula dengan proses integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan. Darinya bakal lahir modal insan di kalangan bangsa Melayu yang menyeluruh. Generasi muda di kalangan bangsa Melayu yang mendapat pendedahan ilmu di Barat dan Timur akan melakukan sinergi terhadap kedua-kedua orientasi ilmu supaya akhirnya di kalangan mereka mampu mempertahankan jati diri yang positif dan berdaya maju serta pada masa sama tidak tenggelam dengan fahaman sekular dan liberal yang ada di Barat dan Timur.

Membebaskan bangsa Melayu daripada belenggu penjajahan pemikiran dan jiwa perlu dilakukan dengan cara memperkasa diri mereka dengan idea ketamadunan daripada sumber al-Quran dan Sunnah.

Ia bakal menjadikan bangsa Melayu khususnya di kalangan generasi muda cenderung mempelajari sains, tetapi sains yang mengiktiraf kewujudan Pencipta. Mempelajari teknologi, tetapi teknologi yang dihubungkan dengan nilai kepenggunaan positif.

Yang paling penting, bangsa Melayu perlu bersatu. Tidak kira apa saja aliran politik mereka. Survival bangsa perlu diutamakan. Umpamanya dari segi memartabatkan bahasa Melayu dan mempertingkat taraf ekonomi, tidak kira samada UMNO atau PAS, perlu mementingkan faktor bangsa dahulu. Amalkan budaya WIN-WIN.

Apa yang berlaku pada hari ini adalah budaya bercakaran, cantas mencantas, mementingkan diri sendiri, penyalahgunaan kuasa dan bermacam lagi yang mana memberikan impak negatif yang merugikan bangsa Melayu itu sendiri.

No comments: