Monday, December 29, 2008

Bahasa Inggeris Bagi Sains & Matematik

2PNP bantah penggunaan bahasa Inggeris bagi Sains dan Matematik

PULAU PINANG, 11 Sept (Hrkh) - Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) berangapan langkah Kementerian Pelajaran Malaysia yang diterajui Dato' Hishamudn Hussein memperkenalkan program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bukan sekadar merosakan malah menghancurkan masa depan pelajar Melayu khususnya di luar bandar.

Ketua Satu 2PNP, Anuar Ahmad dalam kenyataan yang diemailkan ke Harakahdaily semalam turut kesal kerana semua suara yang dikemukakan oleh berbagai pihak agar PPSMI dimansuhkan kerana gagal dan merugikan pelajar tidak dihiraukan.

Isu ini katanya, disahkan oleh Jabatan Audit Negara dalam laporan tahunanya (2007) serta penolakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

"Kerajaan masih buat tidak peduli tentang isu ini walaupun berbagai pihak menjerit agar PPSMI dimansuhkan. Ramai tokoh akademik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersuara beri pandangan tetapi kerajaan pekak telinga sahaja," ujarnya dalam kenyataan dua muka surat itu.

2PNP katanya sedar, keengganan kerajaan memansuhnya disebabkan terdapat sesuatu muslihat selain dari sandiwara politik dan memperkayakan golongan tertentu.

Merujuk kepada kenyataan NUTP baru-baru ini yang mewakili 135,000 anggota menolak program selepas mendapati majoriti murid di sekolah rendah mengalami kesukaran mengikutinya.

Guru-guru yang terbabit juga mengalami kesukaran mengajar kerana murid langsung tidak memahami apa yang diajar melainkan mengembalikan ke sistem asal.

2PNP juga berpendapat, kalau pencapaian Bahasa Inggeris di kalangan anak-anak Melayu tidak memuaskan lebih baik digubal semula kaedah pengajaran bahasa itu bukan bertindak mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

"Kaedah ini seolah tempat lain yang sakit tempat lain yang diubati. Jika guru yang sukar menguasai Bahasa Inggeris tetapi diarah melakukan PPSMI sudah tentu ianya bagaikan tikus membaiki labu," katanya.

Jika diikuti laporan Ketua Audi Negara 2007, masih ada murid tahun empat dari Sabah, Kelantan dan Perlis serta pelajar tingkatan empat dari Sarawak, Sabah dan Kedah khususnya di kawasan luar bandar menghadapi masalah mengikuti PPSMI.

2PNP faham sambung Anuar, kabinet semasa rejim Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan PPSMI bertujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris serta melahirkan pelajar yang berkualiti sejajar merealisasikan modal insan terbaik.

Antara tokoh akademik yang membantah program itu ialah Persatuan Linguistik Malaysia, Dr Awang Sariyan, Persatuan Karyawan, Dato' Dr Hasan Ahmad, UPSI, Prof Emeritus Abdullah Hassan, GAPENA Prof Emeritus Tan Sri Ismail Husein, Akedemi Sains Islam Malaysia, Dato' Zainol Abidin Wahid, Prof Shahril Mohd Zain dan Prof Emeritus Abu Bakar Hamid dan TERAS, Azmi Abdul Hamid serta ramai lagi._

Tuesday, December 16, 2008

BAHASA MELAYU

Enstein Malaysia lahir automatik melalui pengajaran Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris?

HARAKAHDAILY
Dalam meniti perkembangan kemajuan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang terpenting di peringkat antarabangsa. Bahasa Inggeris juga seringkali dianggap sebagai bahasa yang signifikan dalam memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang dalam mengecapi apa yang dikatakan sebagai kemajuan.

Namun, tidak pula yang bercakap tentang bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi tunjang dalam memperoleh kemajuan. Sedangkan bahasa Melayu telah digunakan begitu meluas sebagai salah satu cabang dari bahasa-bahasa Austronesia oleh sekitar 300 juta penutur dalam gugusan pulau-pulau Melayu-Polinesia.

Dalam membina bangsa yang berjaya dan berdaya saing perlu juga diambil kira relevansi dalam sesuatu tindakan. Penialian tersebut perlu dibuat dalam konteks yang meluas dan bersifat jangka panjang serta tidak sempit kepada matlamat yang terbatas dan hanya bersifat jangka pendek.

Masalah sebenar

Menurut Dato' Dr Hasan Ahmad dalam bukunya Ke Arah Kelahiran Melayu Glokal, orang Melayu yang terlibat dalam membuat dasar dan keputusan yang bersangkutan dengan kepentingan bangsa Melayu seharusnya memahami apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh orang Melayu.

Seperti contoh dalam menyelesaikan masalah kelemahan pelajar Melayu dalam menguasai bahasa Inggeris. Ada pihak yang mengaitkannya dengan sikap orang Melayu itu sendiri yang membenci bahasa Inggeris.

Maka dengan dasar yang meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dalam matapelajaran Sains dan Matematik, pelajar melayu mahu tidak mahu akan belajar bersungguh-sungguh dalam menguasai bahasa Inggeris untuk lulus dalam peperiksaan.

Tetapi, hakikatnya, sebelum merdeka, sejarah telah membuktikan bahawa dasar seperti ini yang menyebabkan anak-anak Melayu tidak mempunyai pendidikan yang lebih tinggi daripada peringkat sekolah rendah.

Beberapa siri peperiksaan diperkenalkan seperti Lower Certificate Education (LCE), Senior Cambridge (SC), dan sebagainya yang menggunakan aliran Inggeris sepenuhnya menyebabkan sebahagian besar pelajar melayu khususnya di luar bandar gagal.

Maka, ekoran itu, peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tertutup dan akhirnya mereka terpaksa mencari pekerjaan.

Melihat kepada permasalahan tersebut, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengambil inisiatif untuk mengubah dasar pendidikan negara dengan memperkenalkan aliran Melayu di semua sekolah.

Setelah dasar pendidikan negara diubah dan dasar bahasa Kebangsaan diutamakan dalam sistem pendidikan, ratusan ribu pelajar Melayu memperoleh pendidikan yang lebih tinggi hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Maka, ramai dari graduan Melayu yang telah berjaya menjadi pakar dan memegang jawatan-jawatan penting dalam bidang pekerjaan mereka masing-masing.

Tambah bebanan

Dalam pada itu, dalam keghairahan kita untuk melahirkan pakar-pakar dalam bidang sains dan teknologi, sebenarnya kita telah menambahkan lagi bebanan kepada mereka yang belajar di luar bandar.

Inilah hakikat yang harus kita terima. Dengan suasana dan kehidupan masyarakat luar bandar yang kurang diberikan pendedahan dalam penggunaan bahasa Inggeris, tiba-tiba mereka dihidangkan dengan mata pelajaran yang sememangnya sukar untuk difahami seperti fizik dan kimia untuk diajar dalam bahasa Inggeris.

Adakah dengan meletakkan sasaran untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik akan berjaya menjadikan mereka saintis yang berjaya secara automatik seperti Albert Enstein?

Profesor Diraja Ungku Aziz pernah memberi reaksi yang agak bercanggah ketika dasar ini dibentangkan dengan menyatakan "sekiranya kita benar-benar ingin memajukan bangsa dalam bidang pendidikan, maka perlengkapkan dahulu kemudahan prasarananya".

Pandangan beliau ini berkait rapat dengan kesukaran yang akan dihadapi oleh pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Bahasa terpenting

Dalam meniti perkembangan kemajuan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang terpenting di peringkat antarabangsa. Bahasa Inggeris juga seringkali dianggap sebagai bahasa yang signifikan dalam memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang dalam mengecapi apa yang dikatakan sebagai kemajuan.

Dengan masalah kekurangan dari segi kemudahan untuk mendapatkan pendedahan serta kefasihan dalam penggunaan bahasa Inggeris yang masih lemah, sudah tentu pelbagai kesukaran yang akan mereka hadapi untuk belajar matapelajaran-matapelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris.

Kesannya, tidak hairanlah mengapa berlaku terlalu banyak keciciran dalam pendidikan yang sebahagian besarnya melibatkan bangsa kita.

Tokoh Dewan Bahasa dan Pustaka DBP Dato' Awang Sariyan ketika membentangkan kertas kerjanya dalam Kenvensyen Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan cara terbaik dalam menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris adalah dengan memperbaiki dan memperkasa sistem pengajaran bahasa Inggeris tersebut tanpa melibatkan matapelajaran lain.

Apabila ia melibatkan matapelajaran lain, ia menunjukkan seolah-olah bahasa Melayu telah hilang wibawanya sebagai bahasa ilmu dalam masyarakat yang membawa kepada corak ketamadunan Melayu-Islam.

Persoalan yang perlu dijawab, adakah adil untuk kita menafikan autoriti bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan hanya disebabkan pelajar melayu lemah dalam perkara-perkara asas dalam bahasa Inggeris seperti penggunaan tatabahasa?

Emperor Puyi sewaktu perang dunia kedua telah bersubahat dengan Jepun untuk menyerang Manchuria dan setelah kemenangan dicapai, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Emperor. Sebelum beliau dinaikkan pangkat, beberapa perjanjian penting telah ditandatangani dalam menentukan polisi untuk membina negara Manchuko (Manchuria).

Dasar pertama dan yang paling besar dalam polisi negara Manchuko adalah pendidikan dalam negara tersebut perlu menggunakan bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar di semua peringkat.

Ini jelas menunjukkan akan kepentingan bahasa dalam bidang pendidikan kerana ia akan menentukan generasi bangsa Manchuko itu sendiri pada masa akan datang.

Jatuh bangun bangsa

Menurut teori Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah, menyatakan "yang menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa adalah kekuatan asabiyahnya". Salah satu perkara yang yang menjadi penentu kepada kekuatan asabiyah tersebut adalah bahasa yang menjadi alat komunikasi sesuatu rumpun bangsa.

Lihat saja beberapa bangsa lain di negara Afrika yang telah hilang identiti bangsanya apabila bahasa penjajah seperti Perancis dan British telah diagungkan dan dijadikan bahasa terpenting dalam semua perkara termasuk pendidikan sehingga menenggelamkan bahasa ibunda mereka.

Apa yang perlu disedari adalah kewibawaan sesuatu bahasa itu tidak terletak pada wibawa bahasa itu sendiri akan tetapi kepada kesetiaan pendokong dan penuturnya.. Profesor Dr James T. Collins menegaskan "wibawa sesuatu bahasa tidak terletak pada struktur dan sintaksisnya, kekuatan dan daya tarik bahasa berasaskan faktor politik dan sosial, termasuk kepesatan dan pencapaian ekonominya serta kesedaran dan kesetiaan penuturnya"

Bahasa sememangnya mencerminkan identiti masyarakat kita. Dalam hipoteis yang dibuat oleh ahli sosiologi linguistik Sapir dan Whorf, bahasa sebenarnya menentukan budaya sesuatu masyarakat.

Seperti contoh bahasa Melayu yang penuh dengan nilai-nilai kesopanan dan kemuliaan telah membentuk budaya Melayu itu sendiri yang dipenuhi dengan nilai-nilai positif.

Sekiranya autoriti bahasa itu tidak dipelihara, maka akan terhakislah keutuhan bahasa Melayu yang dahulunya digunakan sebagai bahasa pergaulan yang bersifat perhubungan (lingua franca) di wilayah kepulauan Melayu sejak abad ketujuh pada zaman kerajaan Srivijaya sehinggalah abad ke-14, dan pada zaman-zaman kerajaan berikutnya seperti Empayar Melayu Melaka.

Dengan terhakisnya keutuhan bahasa Melayu, nilai budaya serta identiti bangsa kita sebagai bangsa Melayu juga akan turut lenyap ditelan zaman.

Saturday, November 8, 2008

PINDAAN BAHASA

MALAYSIA KINI
Nov 5

Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah, sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh Raja-raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah - merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak - perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-raja.

Menurut baginda, Raja-raja memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya.

"Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan," titah baginda di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini selepas dipersembahkan satu memorandum oleh Gabungan Melayu Perak.

Menurut laporan Bernama, turut berangkat ialah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Di Hilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Hampir 2,000 wakil dari pertubuhan bukan kerajaan, ahli persatuan silat dan persatuan seni dari seluruh Perak dan Kuala Lumpur, yang diketuai pengerusi gabungan itu Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail, menyertai perarakan aman yang bermula dari Masjid Ubudiah ke istana bagi menyerahkan memorandum itu.

Dalam titah tersebut, baginda mahu rakyat menghentikan segera tindakan politik keterlaluan berhubung kedudukan dan kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Baginda bertitah kebajikan rakyat yang telah memilih kerajaan hendaklah diutamakan dan keamanan negara serta kerukunan rakyat tidak harus dikorbankan semata-mata disebabkan oleh perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

"Jika berlaku kesilapan dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali.

"Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang Melayu," titah baginda.

Friday, October 3, 2008

HIDUP MELAYU

MALAYSIAKINI - SEP 9
Nathaniel Tan & Nik Nazmi Nik Ahmad

Kami setuju tanpa ragu-ragu bahawa kedudukan, martabat dan maruah orang Melayu kini kian terancam.

Rakyat Melayu marhaen berada dalam posisi yang membimbangkan kerana semakin tertindas dan terpinggir dari segi ekonomi dan politik.
Namun, soalnya, siapa yang menindas dan meminggirkan umat Melayu?

Orang Cina? Kaum-kaum 'pendatang' lain yang sudah terlalu lama menjadi setinggan di Tanah Melayu?

Parti Cinakah yang memimpin Malaysia semenjak Merdeka lima puluh tahun lalu sehingga sekarang? Apakah orang 'pendatang' yang menjawat jawatan tertinggi dari hari pertama Malaysia merdeka?

Kesusahan yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang sebenarnya kesusahan yang dihadapi setiap rakyat Malaysia pada saat gentar ini - ekonomi negara yang meleset, harga barang yang melambung, ketidakpedulian kerajaan dan pihak-pihak berkuasa terhadap cabaran yang dihadapi mereka setiap hari.

Punca masalah-masalah ini bukanlah perbezaan warna kulit atau agama; puncanya adalah pemimpin-pemimpin yang sanggup menggadai maruah rakyat dan bangsa untuk memperkayakan diri sendiri.

Setelah lima puluh tahun berleluasa tanpa kawalan, pemimpin-pemimpin Umno telah mengabaikan cita-cita murni pejuang-pejuang kemerdekaan kita untuk membina Malaysia yang aman dan makmur untuk semua.

Polemik kaum

Tangan di depan menghunus keris kononnya untuk mempertahankan hak-hak Melayu, tangan di belakang merompak tanah Melayu, merompak saham Melayu, merompak sara hidup Melayu.

Budaya rasuah kini meracuni setiap lapis pimpinan parti yang ditubuhkan untuk mengharumi masa depan bangsa sehingga laungan sahaja berbunyi "Melayu!" tetapi hati berbisik "Saya dahulu!"

Sejarah dunia menyaksikan polemik kaum disalahgunakan pelbagai pihak - mahupun di Bosnia, Rwanda dan sebagainya - untuk mengutarakan nafsu politik yang rakus.

Api perkauman dinyalakan demi menghasut rakyat jelata antara satu sama lain; namun amat mudah untuk menjadikan orang yang berlainan warna kulit punca kesengsaraan satu bangsa.

Sebagai generasi baru Malaysia, kita perlu sedar kepada kebenaran dan menembusi ilusi yang dicipta oleh golongan yang berkepentingan.
Kesedaran ini boleh dikatakan susah untuk rakyat Malaysia, yang telah sekian lama diajar oleh kerajaan Barisan Nasional untuk melihat setiap masalah sosial dan isu politik dari sudut perkauman.

Parti-parti politik yang berasaskan kaum sahaja akan terperangkap selamanya dalam wacana sempit di mana dosa-dosa dan penyelewengan individu-individu disembunyikan di belakang tabir perkauman.

Buktinya jelas; Umno sendiri mengakui bahawa tiga puluh tahun selepas perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, sasaran-sasaran untuk pembangunan taraf ekonomi Melayu masih gagal dicapai.

Hidup mewah

Adakah ini kerana orang Melayu sebenarnya malas manakala kaum-kaum lain rajin? Penjelasan ini tidak munasabah.

Dengan jumlah penyelewengan sehingga berbilion-bilion ringgit oleh ahli-ahli politik Barisan Nasional, tidak hairan Dasar Ekonomi Baru gagal sama sekali. Dasar yang diasaskan dengan matlamat membangunkan rakyat Melayu marhaen diselewengkan sehingga hanya kelompok kecil sahaja yang memperoleh keuntungan dari dasar-dasar tersebut.

Sehingga hari ini, mustahil ternampak seorang pemimpin tinggi Umno yang tidak hidup mewah dengan mahligai dan kereta-kereta besar.

Jelas, nasib Melayu tidak semestinya terbela oleh parti-parti politik yang bertopengkan nama Melayu sahaja, tetapi oleh pemimpin-pemimpin tanpa mengira kaum yang jujur dan berwibawa. Maruah bangsa Melayu hanya dapat dijamin apabila parti yang terbukti gagal mengangkat martabat bangsa diganti dengan saf pimpinan yang baru.

Keputusan pilihanraya umum Mac 8 juga jelas menunjukkan bahawa rakyat jelata sedia menolak politik perkauman yang digunakan untuk menutup budaya rasuah yang telah menghancurkan ekonomi negara dan membebani rakyat.

Sedihnya, golongan politik yang telah mengekalkan sistem ini yang bankrap moralnya kini enggan melepaskan kuasa dan menerima pilihan rakyat.

Mereka berdegil dengan memainkan politik perkauman yang telah jelas ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya umum ke-12. Pada bulan Mac, orang Melayu tidak takut untuk mengundi DAP dan orang bukan Islam tidak takut untuk mengundi PAS.

Keberanian mengundi sedemikian, walaupun isu-isu perkauman masih dimainkan oleh Barisan Nasional, adalah kerana rakyat berikhtiar untuk merealisasikan harapan untuk membentukkan sebuah Malaysia di mana kepentingan rakyat dipelihara; harapan bahawa dengan kerajaan yang telus dan prihatin akan melahirkan sebuah Malaysia yang mana semua rakyat terbela.

Di bawah pimpinan Umno, tidak kira ideologi asal yang kini sudah tercemar dan terabai, orang Melayu akan terperangkap dan tidak mungkin maju dan berdikari. Parti-parti yang berulang-ulang terbukti gagal menjaga kedudukan orang Melayu di mata dunia harus diganti sebelum terlambat.

Nathaniel Tan merupakan pengendali blog www.jelas.info.
Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia dan Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Blognya boleh dicapai di www.niknazmi.com

Tuesday, September 9, 2008

HORMATI SUARA HATI MELAYU & ISLAM

Ruhanie Ahmad - Blog Kudakepang

Kali ini kita berpuasa dalam suasana maruah orang Melayu dan umat Islam sedang diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak tertentu akibat mainan politik segelintir pembesar Melayu sendiri, khususnya pembesar utama UMNO.

Akibat pendirian yang takut kehilangan sokongan bukan Melayu di era pasca PRU12, segelintir pembesar Melayu ini seolah-olah lupa bahawa power-base mereka adalah Melayu, terutamanya UMNO.

Bila orang Melayu, umat Islam dan UMNO menyuara dan membicarakan hakikat dan kebenaran sejarah yang menyentuh entik lain di negara ini, kelompok pembesar ini pun memaksa orang Melayu, umat Islam dan UMNO memohon maaf.

Tapi, bila entik lain melemparkan tuduhan semberono terhadap orang Melayu, umat Islam dan UMNO, pembesar ini pula tidak menuntut mereka memohon maaf.

Kita ambil contoh Hindraf. Akhir tahun 2007, NGO tidak berdaftar ini mengheret Malaysia dan UMNO ke pelantar antarabangsa dengan tuduhan amat serius – kononnya UMNO melakukan pembersihan etnik keturunan India dan Perlembagaan Persekutuan kononnya menindas entik bukan Melayu di Malaysia.

Pemimpin nombor satu Malaysia pun memberikan reaksinya – ini pengkhianatan of the highest order, katanya. Setakat itu saja. Lepas itu, apa yang telah terjadi kita semua pun tau. Kalau saya ulangi di sini, tentu saya akan dituduh sebagai menghasut.

Jiwa Nurani Melayu

Tapi, perlu saya tegaskan di sini bahawa apa yang terjadi selepas demonstrasi Hindraf itu memang amat menghiris sebilangan besar jiwa orang Melayu dan nurani umat Islam. Adakah pemimpin nombor satu Malaysia insaf akan hakikat ini?

Adakah pemimpin nombor satu Malaysia sedar bahawa cara dan tindakan kerajaan menangani Hindraf amat berbeza dengan cara kerajaan menangani demonstrasi umat Islam di Kuala Terengganu menjelang Ramadhan 2007?

Adakah beliau sedar, cara dan tindakan kerajaan menangani demonstrasi umat Islam di Kuala Terengganu tahun lalu, amat berbeza dengan cara kerajaan menangani bangkangan sekumpulan penternak babi di Melaka yang tergamak menginjak-injak bendera Malaysia dan melemparkan bom molotov kepada pihak penguatkuasa undang-undang kerajaan?

Mengapakah penternak babi yang terang-terang menginjak-injak bendera Malaysia di hadapan mata para pegawai kerajaan tidak di heret ke muka poengadilan? Mengapa pula sekumpulan anak muda Melayu yang hanya dituduh kononnya menginjak-injak dan membakar jalur gemilang di Kuala Terengganu diburu hingga ke lubang cacing?

Mengapakah penternak babi yang membaling molotov kepada pihak berkuasa kerajaan tidak diapa-apakan oleh pihak polis? Mengapakah polis tergamak melepaskan dua das tembakan dengan peluru hidup terhadap pendemonstrasi di Kuala Terengganu? Bagaimana agaknya jika tembakan itu mengakibatkan dua pemuda terbabit itu terbunuh?

Double Standard

Adakah beliau sedar bahawa cara dan tindakan kerajaan mengangi demonstrasi umat Islam di Kuala Terengganu pada September 2007 juga amat berbeza dengan cara dan tindakan kerajaan menangani demonstrasi membabitkan beribu-ribu kaum India di hadapan Pejabat PM di Putrajaya juga tahun lalu?

Mengapa jadi begini? Adakah bila umat Islam dan orang Melayu yang bertindak menyuarakan isi hati mereka terhadap kerajaan maka mereka boleh dilayani secara kasar dan diluar batas undang-undang?

Adakah bila rakyat bukan Melayu bertindak menyuarakan isi hati mereka yang mengguris jiwa orang Melayu dan umat Islam perlu dilayani secara lembut kerana takut tindakan keras akan menjejaskan status quo sokongan mereka terhadap kerajaan?

Saya imbas semula insiden-insiden di atas untuk membangkitkan soal pokok dan prinsip, iaitu mengapakah kerajaan seolah-olah tidak adil terhadap orang Melayu dan umat Islam di bumi ini mutakhir ini? Dan, mengapakah kerajaan mutakhir ini amat berlembut dan cukup bertoleransi terhadap bukan Melayu yang mempertikaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan?

Apa yang saya tegaskan di atas bukan mempersoalkan tindakan polis. Ini kerana polis hanya ikut arahan kerajaan. Apa yang saya persoalkan ialah tindakan kerajaan yang double standard terhadap Melayu dan bukan Melayu kebelakangan ini.

Bukan Hasutan

Jadi, ini bukan suara hasutan. Ini suara yang mencari kedailan dan kebenaran bagi pihak orang Melayu dan umat Islam yang kebelakangan ini seolah-olah jadi warganegara kelas ketiga di tanahairnya sendiri.

Soal ini juga saya lahirkan sewaktu kita menjalani ibadat puasa kerana ibadat ini juga yang mendorong saya untuk terus mencari kebenaran dan keadilan untuk orang Melayu dan umat Islam.

Bagaimanapun, orang Melayu dan umat Islam tidak tergamak membawa kemarahan mereka ke jalanraya seperti warga Thailand mutakhir ini. Sebab itulah mereka rela membekam kemarahan itu di jiwa masing-masing secara senyap. Tetapi, bukankah akhirnya terbukti bahawa segolongan orang Melayu dan umat Islam telah meleraikan kemarahan itu secara demokratik menerusi peti undi baru-baru ini?

Mingguan Malaysia 7 September 2008, memetik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata di Pulau Pinang pada 6 September 2008, bahawa “semua pihak” tidak wajar mensensasikan isu sensitif sehingga menimbulkan rasa marah dan tidak senang hati di kalangan kaum di negara ini.

Menurut Abdullah, perkara yang berkaitan dengan agama, kontrak sosial atau melibatkan perkauman tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia akan menyebabkan kaum-kaum berkenaan berasa bahawa sensitiviti mereka diketepikan.

Punca Keresahan

“Saya ingin menyatakan bahawa kebelakangan ini saya lihat perkara berkaitan dengan kaum sudah menjadi perkara yang menimbulkan keresahan dan rasa tidak senang hati di antara kaum-kaum yang ada di negara kita sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.

“Apa yang berlaku itu kononnya adalah kebebasan untuk bercakap dan menyuarakan pandangan sesuka hati mengikut apa yang dirasai oleh orang berkenaan, ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Saya ucapkan syabas kepada Abdullah kerana akhirnya beliau seolah-olah jadi insaf dan tegas. Tapi, bukankah ini sudah terlambat? Bukankah kelambatan ini menjadi sebahagian punca keresahan orang Melayu dan umat Islam mutakhir ini?

Saya desak Abdullah berterus-terang, pihak manakah yang kebelakangan ini banyak mempersoalkan isu “agama, kontrak sosial atau melibatkan perkauman”?

Saya juga desak Abdullah berikan jawapan, tidak adilkah jika orang Melayu dan umat Islam menangkis seluruh suara yang membabitkan “agama, kontrak sosial atau perkauman”? Mengapa tidak boleh? Kerana kerajaan takut hilang sokongan pihak berkenaan walaupun mereka sudah gagal memelihara sensitiviti Malaysia?

Jika inilah hakikatnya, di manakah keadilannya kepada orang Melayu dan umat Islam? Adakah adil bila hanya orang Melayu dan umat Islam sahaja yang diminta untuk membisukan suara, hati dan perasaan mereka buat selama-lamanya?

JANGAN SENSASI ISU SENSITIF- PM

TASEK GELUGOR 6 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak supaya tidak mensensasikan isu sensitif sehingga menimbulkan rasa marah dan tidak senang hati di kalangan kaum di negara ini. – Utusan

Nota:
Hari ini, ada pihak yang sudah memadamkan tulisan Jawi di papan-papan tanda jalan. Adakah salah jika orang Melayu bersuara dan menentangnya? Hari ini UMNO dipertikaikan kerana menyatakan hakikat dan fakta sejarah. Salahkah UMNO bertindak demikian?

MAHATHIR KECEWA ?

Mahathir kecewa hanya orang Melayu perlu minta maaf

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Hrkh) - Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa bila orang Melayu sekarang sering didesak meminta maaf dan dilabelkan sebagai perkauman (racist).

Kekecewaan beliau itu diluahkan menerusi blognya, chedet.com akibat daripada sikap kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri-Menteri sibuk memohon maaf kepada orang Cina dan India kerana apa yang dikatakan kata-kata yang dianggap sebagai terlalu perkauman yang telah disebut oleh beberapa pemimpin Melayu.

Beliau turut menyelar sikap orang Melayu sekarang yang dikatakan amat takut jika mereka diberi label "racist".

Orang Melayu, kata Dr Mahathir, sanggup menulis dalam akhbar bahawa mereka bukan racist semata-mata kerana tidak mahu dilabel sebagai racist.

"Demikianlah ketakutan mereka sehingga apabila hak mereka di buruk-burukan dan diserang, mereka tidak berani mempertahankan diri mereka," kata beliau.

Lebih mengecewakan lagi kata beliau, bila permohonan maaf secara terbuka Timbalan Perdana Menteri dan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi ditolak oleh pemimpin-pemimpin kaum berkenaan dan menuntut agar individu yang dilabelkan perkauman memohon maaf.

Beliau juga menganggap tindakan Kerajaan menghantar seorang Menteri untuk minta maaf daripada Kerajaan China kerana kononnya wanita rakyat negara tersebut telah ditelanjang oleh polis dan direkod dalam video sebagai antara peristiwa yang memalukan.

Beliau menegaskan jika orang bukan Melayu mengeluar perkataan atau catitan yang boleh ditafsir sebagai perkauman, orang Melayu tidak pernah menununtut supaya pihak berkuasa memohon maaf.

Dr Mahathir juga mempersoalkan memo Hindraf dan perbuatan Wee Meng Chee yang memperlekehkan Negaraku dengan mengguna melodi lagu kebangsaan itu tetapi lirik yang mempermainkan sembahyang dan azan sebagai sesuatu yang bukan hanya bersifat perkauman tetapi juga bernada hasutan.

Beliau mempersoalkan apakah Wee dan pemimpin Hindraf dikehendaki memohon maaf atas apa yang telah mereka lakukan.

"Sebenarnya Wee dipertahan oleh pemimpin-pemimpin parti Cina dan anggota Hindraf dibebaskan daripada tahanan dan ada yang dengan bebasnya bertanding dalam pilihan raya dan menang menjadi wakil rakyat," kata beliau lagi.

Dr Mahathir turut mempersoalkan sikap kerajaan yang dianggap berat sebelah, menyembunyi kata-kata racist Hindraf tetapi melapor dengan meluas apa yang dikatakan oleh pemimpin Melayu.

"Kenapakah Menteri keturunan India atau ketua-ketua kaum India tidak dikehendaki memohon maaf?" soal beliau.

Beliau secara peribadi berpendapat amatlah tidak adil jika satu pihak mendapat kebebasan sedangkan pihak yang ditohmah tidak boleh membuka mulut.

Dr Mahathir juga menjelaskan bahawa apa yang beliau perkatakan itu bukanlah bermaksud mahu mempertahankan Ketua Umno Bukit Bendera Dato' Ahmad Ismail malah beliau turut tidak bersetuju dengan tindakan tersebut tetapi hanya meluahkan rasa kecewanya terhadap keupayaan pemimpin Melayu hari ini menguruskan soal kaum di negara ini.

Wednesday, May 7, 2008

IMBANGAN KUASA

Tindakan Sultan Perak dan Raja Muda Perak menggunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan kepadanya adalah merupakan satu perkembangan yang sangat positif kepada pembentukan kerajaan yang baik.

Sebelum ini tindakan Raja Perlis dan pihak Istana Terengganu dalam perlantikan Menteri Besar di negeri masing-masing juga dilihat menuju kepada perkembangan positif tersebut.

Kesemua tindakan pihak istana ini dilakukan dalam ruang lingkup tafsiran yang luas terhadap undang-undang bertulis di peringkat pusat atau negeri. Namun begitu, yang lebih penting tindakan tersebut merupakan perkembangan baru pasca pilihan raya umum ke-12 ke arah mengembalikan sistem 'separation of power' dalam politik negara.

Kerajaan yang baik (good governance) sememangnya memerlukan sistem pemisahan kuasa seperti ini sehingga tiada satu pihak yang mempunyai kuasa mutlak.

Sekiranya kuasa mutlak dipusatkan kepada pihak atau individu tertentu, kemungkinan untuk berlakunya kezaliman adalah lebih tinggi.

Tindakan pihak istana sejak akhir-akhir ini kelihatan cuba mengembalikan semula sistem pemisahan kuasa tersebut demi pembentukan sebuah kerajaan yang baik.

Sayang sekali sewaktu Almarhum Ustaz Ishak Baharom di'pecat', pihak Istana Selangor tidak bertindak dalam lingkungan tafsiran undang-undang yang diperuntukkan kepadanya.

Sekiranya pihak Istana Selangor bertindak sebagaimana tindakan pihak Istana Perak hari ini, pastinya tindakan itu dilihat sebagai memperkukuhkan sistem pengasingan kuasa.

Sultan Perak dan Raja Muda Perak telah bertindak menurut tafsiran luas daripada semangat peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa budi bicara kepada mereka.

Oleh sebab itu, tindakan Sultan Perak dan Raja Muda ini seharusnya dilihat secara positif oleh semua pihak.

Bagaimanapun tindakan pihak Istana sewajarnya pula bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutama pihak parti politik. Sekiranya pihak Istana tidak bebas daripada pengaruh mana-mana pihak, maka hasrat untuk mengembalikan sistem pemisahan kuasa itu tidak dapat dicapai.

Dalam erti kata yang lebih jelas, pihak Istana semestinya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sama ada pihak pemerintah atau pembangkang. Keterlibatan pihak Istana dengan mana-mana agenda parti politik sememangnya satu gejala yang tidak sihat.
Tindakan pihak Istana ke arah mengembalikan semula sistem pemisahan kuasa sememang dialu-alukan.

Bagaimanapun pihak Istana yang menjadi naungan seluruh rakyat seharusnya bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Pihak Istana juga harus memastikan mereka yang bertindak mewakili pihak istana seperti Setiausaha Sulit, Penasihat Agama dan lain-lain turut bebas dari dipergunakan dan dipengaruhi oleh pihak-pihak lain.

Sekiranya tidak, semangat untuk mengembalikan sistem pemisahan kuasa tidak bermakna.

Wednesday, April 2, 2008

MELAYU PERLU BUAT PERUBAHAN

Orang Melayu perlu tahu dan berani membuat perubahan dengan menyemak kedudukan pemimpin yang dilantik serta tahu menilai kualiti mereka.

Rakyat perlu tahu dan berani melakukan perubahan terutamanya dalam memilih pemimpin negara. Amatlah perlunya orang-orang Melayu menilai semula calon dengan memilih pemimpin sama ada sebagai wakil rakyat mahupun di peringkat akar umbi.

Orang Melayu perlu melalui satu perubahan minda dan sikap dalam nilai perkembangan dalam negara. Minda tertutup dan sikap tidak ambil peduli, acuh tak acuh mesti diubah dengan segera.

Jika orang Melayu ingin menjaga martabat negara serta mengelakkan diri daripada diperkotak-katikkan sesetengah pihak, perubahan sikap adalah perlu.

Sudah sampai masanya, orang Melayu membuat perubahan dalam sektor politik, sosial, budaya dan ekonomi untuk menjamin masa depan mereka di negara ini.

Aspek yang menjadi perkara pokok yang perlu dibincangkan adalah meliputi kerisauan kita mengenai kualiti kepimpinan Melayu di kalangan pimpinan negara masa kini yang sangat tidak memenuhi harapan bangsa.

Banyak kepincangan dan penyelewengan yang berlaku telah menurunkan keyakinan rakyat kepada pemimpin negara.

Kelemahan kepimpinan Melayu di peringkat negara telah menyebabkan pelbagai masalah orang Melayu berpanjangan.

Antara masalahnya ialah hak pemilikan hartanah orang-orang Melayu yang masih kecil serta menurun akibat pembangunan yang dijalankan.

Terdapat tindakan mengambil banyak tanah orang Melayu dilakukan sendiri pemimpin Melayu yang memegang jawatan tinggi di peringkat jamaah menteri.

Sementar dari sudut sosial, adalah kebimbangan dengan penularan budaya suka berhibur (hedonisme) orang Melayu yang digalakkan pemerintah menerusi konsert, lesen premis hiburan, program-program dalam bentuk filem, drama dan acara-acara hiburan yang menyebabkan nilai-nilai orang Melayu terus terjejas.

Sepatutnya kita perlu berjuang bagi mempertahankan apa yang benar-benar termaktub dalam Perlembagaan seperti kedudukan bahasa Melayu serta status undang-undang syariah yang sepatutnya dilaksanakan.

Sekarang ini, semakin berleluasa pemikiran liberal dalam beragama akibat dasar-dasar yang dibuat pemimpin Melayu di negara ini. Akibat kelemahan itu, ada pihak yang mengambil kesempatan untuk membuat tuntutan yang bukan sahaja menjejaskan orang Melayu bahkan mempersoal serta mencabar status agama Islam dan hak orang-orang Melayu.

Diantara contohnya adalah penyerahan memorandum oleh Menteri-menteri bukan Melayu kepada Perdana Menteri dan cubaan mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Manakala isu skandal rosak akhlak di kalangan pemimpin bukan Islam yang jelas menunjukkan bahawa kualiti kepimpinan negara kini telah teruk akibat terjejasnya kepimpinan orang Melayu.