Wednesday, May 7, 2008

IMBANGAN KUASA

Tindakan Sultan Perak dan Raja Muda Perak menggunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan kepadanya adalah merupakan satu perkembangan yang sangat positif kepada pembentukan kerajaan yang baik.

Sebelum ini tindakan Raja Perlis dan pihak Istana Terengganu dalam perlantikan Menteri Besar di negeri masing-masing juga dilihat menuju kepada perkembangan positif tersebut.

Kesemua tindakan pihak istana ini dilakukan dalam ruang lingkup tafsiran yang luas terhadap undang-undang bertulis di peringkat pusat atau negeri. Namun begitu, yang lebih penting tindakan tersebut merupakan perkembangan baru pasca pilihan raya umum ke-12 ke arah mengembalikan sistem 'separation of power' dalam politik negara.

Kerajaan yang baik (good governance) sememangnya memerlukan sistem pemisahan kuasa seperti ini sehingga tiada satu pihak yang mempunyai kuasa mutlak.

Sekiranya kuasa mutlak dipusatkan kepada pihak atau individu tertentu, kemungkinan untuk berlakunya kezaliman adalah lebih tinggi.

Tindakan pihak istana sejak akhir-akhir ini kelihatan cuba mengembalikan semula sistem pemisahan kuasa tersebut demi pembentukan sebuah kerajaan yang baik.

Sayang sekali sewaktu Almarhum Ustaz Ishak Baharom di'pecat', pihak Istana Selangor tidak bertindak dalam lingkungan tafsiran undang-undang yang diperuntukkan kepadanya.

Sekiranya pihak Istana Selangor bertindak sebagaimana tindakan pihak Istana Perak hari ini, pastinya tindakan itu dilihat sebagai memperkukuhkan sistem pengasingan kuasa.

Sultan Perak dan Raja Muda Perak telah bertindak menurut tafsiran luas daripada semangat peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa budi bicara kepada mereka.

Oleh sebab itu, tindakan Sultan Perak dan Raja Muda ini seharusnya dilihat secara positif oleh semua pihak.

Bagaimanapun tindakan pihak Istana sewajarnya pula bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak terutama pihak parti politik. Sekiranya pihak Istana tidak bebas daripada pengaruh mana-mana pihak, maka hasrat untuk mengembalikan sistem pemisahan kuasa itu tidak dapat dicapai.

Dalam erti kata yang lebih jelas, pihak Istana semestinya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sama ada pihak pemerintah atau pembangkang. Keterlibatan pihak Istana dengan mana-mana agenda parti politik sememangnya satu gejala yang tidak sihat.
Tindakan pihak Istana ke arah mengembalikan semula sistem pemisahan kuasa sememang dialu-alukan.

Bagaimanapun pihak Istana yang menjadi naungan seluruh rakyat seharusnya bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Pihak Istana juga harus memastikan mereka yang bertindak mewakili pihak istana seperti Setiausaha Sulit, Penasihat Agama dan lain-lain turut bebas dari dipergunakan dan dipengaruhi oleh pihak-pihak lain.

Sekiranya tidak, semangat untuk mengembalikan sistem pemisahan kuasa tidak bermakna.