Thursday, August 9, 2007

MERDEKA

Pada 31 Ogos 2007 , MALAYSIA bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50. Bagi seorang insan, mencecah usia 50 tahun menandakan beliau telah mencapai usia matang dalam hidup. Tentu berbagai pengalaman hidup telah ditempuhi beliau.

Sebaliknya ......
Apakah erti 50 tahun kemerdekaan Malaysia bagi bangsa Melayu ?
Apakah kecemerlang yang telah berjaya dicapai oleh bangsa kita ?
Adakah kita betul-betul merdeka dalam ertikata yang sebenarnya ?
Berjayakah kita menonjjolkan jati diri kita yang sebenar ?
Berjayakah kita memartabatkan Bahasa Melayu?

Setiap tahun, bila menjelangnya hari kemerdekaan , bagaimana kita mengisi makna kemerdekaan itu keatas diri , keluarga dan masyarakat kita ?

Kemerdekaan bukan saja kemampuan membebaskan diri daripada belenggu penjajah , tetapi keupayaan kita mengisi makna kemerdekaan tersebut dari segi zahir dan batin sejajar dengan proses pembangunan negara.

Penentangan bangsa Melayu terhadap penjajah Inggeris disebabkan kolonial Inggeris cuba memaksa ideologi dan sistem nilainya terhadap anak tempatan. Kolonial Inggeris beranggapan bangsa Melayu perlu mengikut acuan Inggeris dan Barat untuk memerdekakan diri daripada kejahilan dan kemunduran.

Bangsa Melayu yang memiliki kesedaran agama tinggi dapat membaca maksud penjajahan Inggeris kerana ia boleh memberi kesan terhadap generasi akan datang dari segi minda, gaya hidup dan halatuju pembangunan negara.

Bangsa Melayu tidak mahu syarat terhadap kemerdekaan membawa maksud pembaratan terhadap bangsa. Dalam bahasa mudah, walaupun bangsa Melayu berkulit sawo matang, tetapi pemikiran dan cita rasanya adalah mengikut Barat.

Hakikatnya memang ada manfaat yang diperolehi dari Barat iaitu dari segi kemodenan teknologi dan urusan pentadbiran , tetapi roh dan semangat kebaratan tidak harus menjadi landasan membangunkan negara merdeka.

BANGSA MELAYU YANG MERDEKA HARUS BERPAKSIKAN KEPADA JATI DIRI BANGSA MELAYU ITU SENDIRI YANG BERHUBUNGKAIT DENGAN AGAMA ISLAM, BAHASA MELAYU, TRADISI DAN BUDAYA di samping tidak menolak faktor kemajuan yang bermanfaat baik daripada tamadun orang lain.

Proses pembaratan tidak hanya berlaku pada zaman penjajahan, tetapi berlaku secara agresif selepas itu. Ketidakupayaan bangsa Melayu memperkukuhkan jati diri seimbang dengan perubahan hari ini menyebabkan jerat penjajahan mengena kembali ke leher bangsa Melayu dan menyebabkan bangsa Melayu terbelenggu semula dalam arus globalisasi yang kencang menyerang. Sebahagian bangsa Melayu menjadi kagum dengan perubahan di Barat terutama dalam bidang kebudayaan popular dan gaya hidup.

Berjiwa merdeka tidak bermakna bangsa Melayu perlu anti-Barat, antiperkembangan teknologi dan antikemajuan serta perubahan. Kemerdekaan bagi orang Melayu ialah keupayaan memperkasa diri dengan ilmu, kemahiran dan kepakaran, jati diri yang diolah secara dinamik, kreatif dan hala tuju kemajuan dalam acuan sendiri.

Islam mengambil pendekatan Barat tidak ditentang, tetapi proses pembaratan perlu diwaspada. Islam tidak melihat teknologi adalah segala-galanya dalam memberi erti kemerdekaan. Teknologi adalah merupakan alat, bukan matlamat.

Matlamat dalam pembangunan teknologi ialah setakat mana pengguna teknologi memiliki kualiti nilai dan pedoman aplikasi yang baik dan pada masa sama setakat mana perisian serta program dalam aktiviti memanfaatkan teknologi berasaskan sumber dan pengolahan bermanfaat.

Inilah cabaran kemerdekaan bangsa Melayu dan warga Malaysia bagi memberi erti terhadap kemajuan dan perubahan berasaskan jati diri keMelayuan dan terbuka untuk menerima aspek positif daripada orang lain.

Kemajuan Islam tidak seharusnya dalam batas tradisional semata-mata. Faktor integrasi dalam ilmu, memperkasa metodologi pendidikan agama, memberikan orientasi baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, bina insan yang menyeluruh antara faktor perlu dilakukan bangsa Melayu untuk mengekalkan jati diri mereka.

Usaha ini memerlukan upaya kreatif yang tinggi. Faktor tradisi dalam seni dan budaya, ilmu dan pendidikan, metodologi dan kajian memerlukan asas maju dan berubah. Upaya kreativiti boleh mencetuskan pembaharuan bentuk dan isi yang merintis ke arah kemajuan.

Jika faktor ini gagal dibangunkan, ketirisan dan pencairan jati diri akan berlaku kerana pengaruh budaya popular Barat adalah terlalu kuat dan amat berpengaruh terhadap generasi muda.

Binaan ilmu Islam perlu diungkapkan secara tamadun. Pendekatan ritual atau rohaniah terbatas harus dikembangkan dengan upaya mengurus sistem yang tidak terpisah dengan sistem nilai makruf.

Ia harus bermula dengan proses integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan. Darinya bakal lahir modal insan di kalangan bangsa Melayu yang menyeluruh. Generasi muda di kalangan bangsa Melayu yang mendapat pendedahan ilmu di Barat dan Timur akan melakukan sinergi terhadap kedua-kedua orientasi ilmu supaya akhirnya di kalangan mereka mampu mempertahankan jati diri yang positif dan berdaya maju serta pada masa sama tidak tenggelam dengan fahaman sekular dan liberal yang ada di Barat dan Timur.

Membebaskan bangsa Melayu daripada belenggu penjajahan pemikiran dan jiwa perlu dilakukan dengan cara memperkasa diri mereka dengan idea ketamadunan daripada sumber al-Quran dan Sunnah.

Ia bakal menjadikan bangsa Melayu khususnya di kalangan generasi muda cenderung mempelajari sains, tetapi sains yang mengiktiraf kewujudan Pencipta. Mempelajari teknologi, tetapi teknologi yang dihubungkan dengan nilai kepenggunaan positif.

Yang paling penting, bangsa Melayu perlu bersatu. Tidak kira apa saja aliran politik mereka. Survival bangsa perlu diutamakan. Umpamanya dari segi memartabatkan bahasa Melayu dan mempertingkat taraf ekonomi, tidak kira samada UMNO atau PAS, perlu mementingkan faktor bangsa dahulu. Amalkan budaya WIN-WIN.

Apa yang berlaku pada hari ini adalah budaya bercakaran, cantas mencantas, mementingkan diri sendiri, penyalahgunaan kuasa dan bermacam lagi yang mana memberikan impak negatif yang merugikan bangsa Melayu itu sendiri.

Wednesday, August 1, 2007

ANCAMAN ARAK DAN JUDI

Dewasa ini banyak dipaparkan berkaitan keruntuhan moral dikalangan bangsa melayu samada di media cetak mahupun media elektronik. Lanjutan dari polemik ini muncullah banyak gejala sosial melibatkan kejadian penyalahgunaan dadah, keruntuhan moral dan sebagainya dikalangan orang-orang melayu terutamanya golongan muda-mudi.

Diantaranya adalah ancaman arak dan judi. Kini seolah-olah tidak menjadi kesalahan meminum arak dan berjudi. Jika tidak percaya perhatikanlah sendiri dimana meminum arak boleh dilihat secara terang-terangan di kota-kota dan berjudi terutamanya nombor ekor boleh dibeli dimana-mana saja oleh orang-orang melayu tanpa perasaan segan silu lagi.

Arak dan berjudi, kedua-duanya merupakan kenikmatan hidup yang amat disukai oleh orang Arab pada masa mereka belum lagi mempunyai minat dan cita-cita yang yang tinggi, yang dapat mereka habiskan kegiatan-kegiatan mereka atau belum lagi mempunyai minat dan cita-cita yang tinggi yang melibatkan seluruh perasaan mereka dan menelan seluruh waktu mereka.

Allah berfirman, Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah - (apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.

Sehingga pada waktu ini belum lagi diturunkan hukum mengharamkan arak dan judi tetapi tidak ada pula satu nas al-Quran yang menghalalkan kedua-duanya. Malah Allah membimbing kelompok Muslimin yang baru itu selangkah demi selangkah ke jalan yang dikehendaki oleh-Nya.

Allah menciptakan kelompok ini di bawah perhatian-Nya untuk memainkan peranan yang ditentukan untuk mereka. Peranan yang amat besar ini tentulah tidak sesuai dengan kegiatan membuang waktu di dalam penagihan arak dan permainan judi. Ia tidak selaras dengan kerja-kerja membuang umur, membuang masa sedar dan membuang tenaga yang dilakukan oleh orang-orang yang kosong dari pekerjaan, iaitu orang-orang yang hanya asyik memuaskan kenikmatan nafsu mereka sahaja. Atau orang-orang yang diburu oleh kekosongan hidup lalu mereka penuhkannya dengan kemabukan arak dan bermain judi, atau orang yang diburu oleh jiwa mereka lalu mereka melarikan diri di dalam arak dan judi sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang yang hidup di dalam jahiliah, sekarang dan masa akan datang.

Namun, dalam menjalankan cara pendidikannya terhadap jiwa manusia, Islam bertindak dengan perlahan-lahan, selesa dan hati-hati. Ayat yang kita sedang bicarakan ini merupakan langkah pertama dari langkah-langkah pengharaman. Segala benda dan segala perbuatan kadang-kadang tidak semuanya tidak baik belaka.

Yang baik kadang-kadang bercampur dengan yang tidak baik dan yang tidak baik bercampur dengan yang baik di bumi ini, tetapi menjadi asas halal dan haram ialah wujudnya lebih banyak kebaikan atau wujudnya lebih banyak kejahatan. Jika dosa (keburukan) dalam penagihan arak dan permainan judi itu lebih besar dari manfaatnya, maka itulah sebab pengharaman dan larangan walaupun tidak dijelaskan di sini dengan lafaz pengharaman dan larangan.

Ancaman daripada minum arak

Terdapat banyak hadis yang melarang keras daripada minum arak.
Antaranya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
* “Jauhilah minuman keras, kerana sesungguhnya minuman keras itu punca dari segala kejahatan.” (Riwayat Hakim)
* “Semua minuman yang memabukkan itu adalah khamar dan setiap khamar itu adalah haram. Dan barang siapa yang minum khamar di dunia. Lalu mati dalam keadaan tidak bertaubat, sedangkan dia sangat menggemarinya, maka nanti dia tidak akan dapat merasainya di akhirat”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)
* Siapa yang meminum khamar di dunia, maka dia akan diharamkan minuman khamar di akhirat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
* “Barang siapa yang meminum minuman keras, Allah tidak akan menerima sesuatu (kebaikan) daripadanya. Dan jika dia mabuk dari sebab minuman keras itu, tidak akan diterima solatnya selama 40 pagi (hari). Kemudian jika dia bertaubat, lalu kembali semula meminum minuman keras maka berhak Allah memberikannya minuman dari kotoran darah atau nanah neraka jahanam.” (Riwayat Ahmad dan Turmidzi)

Arak itu sebenarnya ada manfaatnya seperti memanaskan tubuh, menghilangkan dukacita dan sebagainya. Tetapi kemudaratannya terlebih besar dari manfaatnya kerana ia berbahaya kepada kesihatan badan dan fikiran serta pembaziran.

Berkata salah seorang doktor dari Jerman, orang yang banyak minum arak ketika umurnya 40 tahun, tubuhnya dan fikirannya seperti orang yang berumur 60 tahun.

Zarro Aga seorang peladang Turki, telah berumur lebih 100 tahun, sedangkan kekuatan tubuhnya dan fikirannya seperti orang muda. Tatkala ditanyakan kepadanya, apakah yang menyebabkan yang demikian itu? Maka dia mengatakan, bahawa dia tidak minum arak sejak kecil lagi.

Doktor-doktor Eropah telah bersepakat, bahawa bahaya arak itu lebih besar dari manfaatnya. Seolah-olah mereka menerima peraturan al-Quran yang telah turun lebih 1,300 tahun dahulu.

Ulama bersepakat, bahawa minum arak yang diperbuat daripada buah anggur, hukumnya haram, baik sedikit ataupun banyak. Arak yang diperbuat selain daripada anggur boleh diminum sedikit (tidak memabukkan) menurut mazhab Hanafi.

Ancaman daripada berjudi

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
* Sesungguhnya ramai orang yang cuba mendapatkan harta Allah dengan cara yang tidak benar, maka mereka berhak memasuki neraka pada hari kiamat. (Riwayat Bukhari)
* Sesiapa yang mengatakan kepada temannya: Marilah kita bermain judi! Maka hendaklah dia bersedekah (sebagai kaffarah). (Riwayat Bukhari)
Kalau sekadar mengajak teman judi saja sudah diwajibkan membayar kaffarah (tebusan) dengan bersedekah, apatah lagi kalau sudah bermain judi.
Bahaya berjudi amat jelas. Seseorang boleh menjadi kaya-raya dalam masa yang singkat, sebaliknya boleh menjadi papa-kedana sehingga boleh merobohkan rumah tangga yang bahagia dan menjadi hina dina dalam masa yang singkat juga.
Firman Allah: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.

Al-Maraghi berkata: Allah menyebut keampunan dan penambahan bagi mentakdirkan setiap kaum mengikut masa mereka dan yang layak dengan keadaan mereka. Yang dikehendaki dengan infak di sini ialah sedekah sunat kepada individu dan juga maslahah ummah.

IKTIBAR YANG BOLEH DISIMPULKAN

* Setiap larangan Allah pasti mempunyai mafsadah jika dilakukannya, sebaliknya jika ditinggalkan pasti mendapat maslahah dan manfaat.
* Mudarat arak bukan semata-mata berkenaan kesihatan tetapi merangkumi keseluruhannya seperti badan, jiwa, akal, harta dan termasuk juga hubungan sesama manusia.
* Judi merupakan ancaman kepada masyarakat dan mudaratnya lebih besar daripada manfaat.

SESI PERCAMBAHAN MINDA

1. Apakah peranan kita sebagai masyarakat melayu keseluruhannya dalam membendung hal ini.
2. Apakah tindakan jangka pendek dan jangka panjang dalam menangani masalah ini.
3. Apakah peranan anda sebagai individu melayu dalam menangani masalah ini.

TUJUAN BLOG INI

SALAM

Selamat datang ke blog Wawasan Melayu. Tujuan utama blog ini adalah untuk membincangkan secara khusus arah dan hala tuju serta wawasan bangsa melayu dalam mengharungi arus dan perkembangan dunia moden hari ini. Dengan perbincangan bersama diharap akan mencetus idea, percambahan fikiran dan apa saja yang mampu memberikan kesan kearah peningkatan, perkembangan dan kejayaan bangsa melayu itu sendiri. Semoga dengan kewujudan blog ini , diharap dapat merangsang kecemerlangan bangsa melayu samada dari segi minda, bahasa, ekonomi, sosial, agama dan sebagainya. Natijahnya, hasil dari penglibatan semua pihak yang prihatin dan ikhlas tanpa mengira apapun taraf mereka samada dari segi fahaman politik, pekerjaan mahupun kelompok kenegerian dan sebagainya bersama-sama dalam blog ini memberikan input untuk kejayaan bangsa melayu dan seterusnya memartabatkan bangsa melayu di mata dunia. AMIN