Wednesday, April 2, 2008

MELAYU PERLU BUAT PERUBAHAN

Orang Melayu perlu tahu dan berani membuat perubahan dengan menyemak kedudukan pemimpin yang dilantik serta tahu menilai kualiti mereka.

Rakyat perlu tahu dan berani melakukan perubahan terutamanya dalam memilih pemimpin negara. Amatlah perlunya orang-orang Melayu menilai semula calon dengan memilih pemimpin sama ada sebagai wakil rakyat mahupun di peringkat akar umbi.

Orang Melayu perlu melalui satu perubahan minda dan sikap dalam nilai perkembangan dalam negara. Minda tertutup dan sikap tidak ambil peduli, acuh tak acuh mesti diubah dengan segera.

Jika orang Melayu ingin menjaga martabat negara serta mengelakkan diri daripada diperkotak-katikkan sesetengah pihak, perubahan sikap adalah perlu.

Sudah sampai masanya, orang Melayu membuat perubahan dalam sektor politik, sosial, budaya dan ekonomi untuk menjamin masa depan mereka di negara ini.

Aspek yang menjadi perkara pokok yang perlu dibincangkan adalah meliputi kerisauan kita mengenai kualiti kepimpinan Melayu di kalangan pimpinan negara masa kini yang sangat tidak memenuhi harapan bangsa.

Banyak kepincangan dan penyelewengan yang berlaku telah menurunkan keyakinan rakyat kepada pemimpin negara.

Kelemahan kepimpinan Melayu di peringkat negara telah menyebabkan pelbagai masalah orang Melayu berpanjangan.

Antara masalahnya ialah hak pemilikan hartanah orang-orang Melayu yang masih kecil serta menurun akibat pembangunan yang dijalankan.

Terdapat tindakan mengambil banyak tanah orang Melayu dilakukan sendiri pemimpin Melayu yang memegang jawatan tinggi di peringkat jamaah menteri.

Sementar dari sudut sosial, adalah kebimbangan dengan penularan budaya suka berhibur (hedonisme) orang Melayu yang digalakkan pemerintah menerusi konsert, lesen premis hiburan, program-program dalam bentuk filem, drama dan acara-acara hiburan yang menyebabkan nilai-nilai orang Melayu terus terjejas.

Sepatutnya kita perlu berjuang bagi mempertahankan apa yang benar-benar termaktub dalam Perlembagaan seperti kedudukan bahasa Melayu serta status undang-undang syariah yang sepatutnya dilaksanakan.

Sekarang ini, semakin berleluasa pemikiran liberal dalam beragama akibat dasar-dasar yang dibuat pemimpin Melayu di negara ini. Akibat kelemahan itu, ada pihak yang mengambil kesempatan untuk membuat tuntutan yang bukan sahaja menjejaskan orang Melayu bahkan mempersoal serta mencabar status agama Islam dan hak orang-orang Melayu.

Diantara contohnya adalah penyerahan memorandum oleh Menteri-menteri bukan Melayu kepada Perdana Menteri dan cubaan mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Manakala isu skandal rosak akhlak di kalangan pemimpin bukan Islam yang jelas menunjukkan bahawa kualiti kepimpinan negara kini telah teruk akibat terjejasnya kepimpinan orang Melayu.

No comments: